GAZA - Ribuan rakyat Palestin diarahkan untuk meninggalkan penempatan mereka secara paksa di Beit Hanoun, sebuah bandar di utara Gaza, oleh tentera Israel pada Rabu, lapor Agensi Anadolu (AA).
Tentera Israel sebelum ini mengarahkan pengosongan Beit Hanoun dan kawasan sekitarnya sebagai persediaan untuk operasi ketenteraan dengan alasan ada tembakan roket dari kawasan itu.
Wartawan Anadolu memetik saksi yang mengesahkan bahawa ribuan rakyat Palestin mula melarikan diri dari utara Gaza, dan menuju ke Jabalia dan Bandaraya Gaza.
Rakyat Palestin yang melarikan diri terpaksa berjalan kaki sambil membawa barang-barang mereka kerana tiada pengangkutan disediakan.
Warga Palestin yang melarikan diri dari penempatan mereka terpaksa berjalan jauh untuk mencari perlindungan di rumah saudara-mara atau rakan-rakan mereka, sementara yang lain menjadi gelandangan di jalanan atau di tempat perlindungan jika mereka berjaya mendapat tempat di tempat perlindungan yang sudah penuh sesak.
Israel mengingkari resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menuntut gencatan senjata segera dan telah menghadapi kecaman antarabangsa berikutan serangan kejam yang berterusan di Gaza sejak pencerobohan pada Oktober lepas.
Lebih 39,600 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan hampir 91,400 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Lebih 10 bulan sejak diserang Israel, sebahagian besar Gaza kini tinggal runtuhan di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan.
Israel dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang telah mengarahkan ia untuk segera menghentikan operasi ketenteraan di bandar selatan Rafah, dan lebih daripada satu juta rakyat Palestin telah mencari perlindungan daripada perang sebelum ia diceroboh pada 6 Mei. - Bernama