CADANGAN membina aplikasi media sosial khusus untuk kegunaan rakyat Malaysia dikatakan dapat menjamin keselamatan pengguna.
Justeru, kerajaan meneliti cadangan tersebut memandangkan inisiatif sama juga sedang diusahakan oleh beberapa negara lain.
Cadangan berkenaan juga terhasil apabila ada penyedia aplikasi media sosial tertentu didapati mengaut keuntungan daripada rakyat di negara ini tetapi gagal menjamin keselamatan penggunanya.
Bagaimanapun cadangan berkenaan menimbulkan respons yang pelbagai dalam kalangan orang awam.
Ada yang setuju dan ada juga yang tidak setuju dengan idea itu namun masing-masing datang bersama hujah tersendiri.
SOKONG
Pelaburan untuk kebaikan rakyat
Pada pendapat saya, saya tidak setuju apabila membina media sosial sendiri dikatakan membazir kerana ia boleh dianggap sebagai satu pelaburan dan pembangunan insan.
Saya tidak dapat menilai anggaran kos bagi membina aplikasi media sosial sendiri untuk rakyat negara ini tetapi jika ia menelan modal yang tinggi namun demi kebaikan bersama sudah pasti berbaloi.
Membina platform sosial media sendiri juga mampu menjaga dan melindungi rakyat daripada kerugian akibat terjebak aktiviti scam mahupun penipuan dalam talian yang banyak terjadi kepada pengguna media sosial sekarang ini.
Malah, kandungan yang dihasilkan oleh media sosial sendiri juga lebih relevan kepada masyarakat serta budaya masyarakat kita.
Di samping itu, keselamatan pengguna media sosial sendiri lebih terkawal dan penyebaran berita palsu serta fitnah lebih mudah disekat.
Bagaimanapun, kerajaan mungkin berdepan cabaran penerimaan penggunanya. Tidak semua pengguna terus bersetuju untuk menggunakan media sosial baharu yang dibina.
Mungkin mereka lebih biasa dengan media sosial global berbanding milik negara sendiri, jadi pengguna boleh diberikan pilihan untuk berbuat demikian.
Selain itu, media sosial yang ada kini sangat terdedah kepada anasir luar yang negatif dan sangat tidak sesuai dengan pembangunan sahsiah generasi baharu terutamanya anak muda.
Seperti semua sedia maklum, internet tiada sempadan. Jika bina media sosial sendiri ia boleh dikawal ketat selain dapat membuka peluang interaksi sosial dengan rakyat kita sendiri.
Lagipun banyak negara yang sudah ada aplikasi media sendiri seperti China, Rusia, Turki, India, Jepun, Korea Selatan dan sebagainya.
- Pakar Keselamatan Maklumat, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Ts Dr Nur Izura Udzir.
BANGKANG
Kos bina media sosial sendiri tinggi
Pada saya, kos membina platform media sosial sangat tinggi bagi mewujudkan keselamatan pada kod pengaturcaraan, pangkalan data, infrastruktur, simpanan data, rangkaian, dinding api, pelayan, perlindungan titik akhir dan lain-lain.
Tahap keselamatan data, maklumat, rangkaian, simpanan data dan pelayan menjadi satu keperluan utama untuk menjamin ruang laman sosial yang lebih selamat daripada sebarang risiko kebocoran maklumat.
Saya rasa kalau bina platform media sosial sendiri, tidak semua pengguna Malaysia berminat untuk menggunakannya.
Bagi saya, membina platform media sosial sendiri memang mudah dengan hanya membayar dan memperolehnya tetapi siapa yang menyertainya akan menjadi masalah.
Apabila platform itu telah disediakan tetapi tiada yang menggunakannya, ia merupakan satu pembaziran kerana membabitkan modal yang besar.
Jika kerajaan mahu membinanya kerana mengikuti langkah negara lain yang memiliki media sosial sendiri, saya rasa lebih baik kerajaan tingkatkan keselamatan media sosial sedia ada dan kuat kuasakan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) lebih ketat.
Ini kerana membangunkan aplikasi media sosial sendiri juga berpotensi memberi kepada ruang ancaman jenayah siber.
Oleh itu, lebih baik kerajaan menggunakan kos berkenaan bagi membaik pulih ekonomi dan taraf hidup rakyat atau menyelesaikan isu-isu lain yang lebih utama di negara ini.
- Eksekutif IT syarikat swasta, Insyirah Hani Noor Hisham.