Rakyat sendiri wajib hargai nilai merdeka

Iklan
Gambar hiasan.

SAMBUTAN bulan kemerdekaan di Kelantan masih dilihat suram kerana banyak premis yang belum digantung bendera selain ada bendera usang berkibar di tiang sama sejak bertahun lalu.

Memasuki 7 Ogos, sempena bulan kemerdekaan sebenarnya semarak merdeka perlu ditunjukkan dengan mengibarkan Jalur Gemilang yang baharu dan lebih ceria.

Iklan
Iklan

Mungkin sekarang ramai yang memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang, maka sambutan bulan kemerdekaan belum dirasai.

Ada juga yang berfikir, terlalu awal untuk membuat persiapan tetapi alangkah baiknya jika lebih awal bagi 'mengingatkan' orang awam terutama golongan muda dan kanak-kanak bahawa Ogos merupakan bulan keramat untuk negara.

Iklan

Sesuai Tahun Melawat Kelantan 2024, Jalur Gemilang yang digantung dapat memberi maklumat awal kepada pelancong bahawa kita kini dalam 'mood' meraikan hari penuh bersejarah pada 31 Ogos.

Jadi rasanya, kita sudah boleh memulakan 'perang' bendera Malaysia sebagai satu cara menguar-uarkan dan mengajak orang ramai bersama memeriahkan bulan merdeka.

Iklan

Bercerita mengenai Jalur Gemilang juga, masih ramai tidak mengambil serius untuk menjaga nilainya sehingga ada yang melanggar peraturan yang ditetapkan.

Teringat cerita seorang kawan yang beberapa tahun menetap di Amerika Syarikat bahawa rakyat negara itu tidak dibenarkan sama sekali menjadikan bendera sebarang busana atau alas peralatan tertentu dan tindakan tegas terus dikenakan.

Kata beliau lagi, perkara sama juga berlaku di Australia, India dan New Zealand.

Jadi kerajaan Malaysia perlu tegas dengan rakyat negara ini untuk menjaga martabat Jalur Gemilang.

Selain itu, jika ada lagi kes bendera dipasang secara terbalik, usah terima maaf mereka sebaliknya terus ambil tindakan bagi mengelakkan kes sama daripada berulang.

Kuatkuasakan undang-undang di bawah Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (mencegah penggunaan tidak wajar) 1963 dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.

Jangan terlalu 'lembik' kerana itu hanya mengundang sifat berani golongan yang sentiasa tersilap dan kemudian tanpa rasa malu memohon maaf.

Berdasarkan Akta A1525 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan 2017) pada Fasal 2 berkaitan penggantian Seksyen 5 bagi Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) menetapkan jika disabitkan kesalahan seperti di bawah Seksyen 3, maka seseorang itu boleh dikenakan denda sehingga RM12,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Sepanjang tempoh sambutan kemerdekaan, penulis juga percaya ramai tukang jahit yang mengambil peluang memanfaatkan kebolehan mereka untuk menghasilkan pakaian bertema merdeka.

Bagaimanapun, mereka perlu berwaspada mencipta kreativiti supaya tidak mencemarkan bendera dengan menampalnya di bahagian tertentu pakaian sehingga menampakkan satu penghinaan.

Jangan pula kreatif tidak bertempat dengan menggunakan objek tertentu dan menjadikan bendera sebagai pembalut.

Jadi, rekalah sesuatu yang boleh memberi manfaat terutama mengenai salasilah bendera atau Jalur Gemilang.

Percayalah itu semua boleh memberi ilmu baharu kepada anak-anak yang bukan sahaja teruja menyambut hari merdeka tetapi mungkin terdetik persoalan mengenai sejarah tanah air dan bangsa.

Dalam pada itu, pemilik premis juga perlu cakna dengan bendera yang digantung di tiang dalam kawasan mereka.

Kita juga sedih melihat keadaan bendera yang tidak selayaknya masih digantung di premis yang lokasinya di tepi jalan besar dan sudah tentu menjadi perhatian ramai.

Lebih menyedihkan jika bendera itu berada dalam lokasi agensi tertentu atau pejabat korporat.

Siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menghargai nilai kemerdekaan negara sendiri jika bukan rakyatnya.

*Aswany Omar ialah wartawan Sinar Harian Kelantan