KUALA LUMPUR - Hanya berbelanja RM170 di Karnival Rakyat Karangkraf, seorang wanita berjaya menjadi pengunjung bertuah apabila menerima hadiah pakej umrah bernilai RM6,390 daripada Syarikat Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd (Andalusia).
Guru Ekonomi dan Perniagaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra, Noorlaili Yusoh berkata, dia sama sekali tidak mengetahui karnival berkenaan menawarkan hadiah ke Tanah Suci Makkah.
Menurutnya, dia dan keluarga hadir ke karnival itu kerana mahu mengunjungi jualan buku Karangkraf.
"Anak sulung saya sangat menyukai buku. Setiap kali acara berkaitan buku pasti beratus ringgit habis dibelanjakan. Kali ini, dia (anak sulung) berbelanja RM170 untuk novel-novel yang diminatinya.
"Sebenarnya, saya tidak tahu jika berbelanja lebih RM100 di karnival layak untuk menyertai cabutan bertuah.
"Saya tidak meletakkan harapan sama sekali bahkan tidak mengetahui hadiah-hadiah yang ditawarkan selain motosikal,” katanya selepas penyerahan mockup pakej tajaan umrah di Ibu Pejabat Andalusia pada Selasa.
Tambah Noorlaili, dia menyifatkan hadiah berkenaan sebagai panggilan daripada ALLAH SWT ke Tanah Suci.
Rezeki tidak disangka
Kata ibu kepada tiga orang anak itu, dia pada mulanya menyangka makluman yang diterima melalui aplikasi WhatsApp itu adalah penipuan phone scam.
Jelasnya, lambakan kes penipuan menyebabkan dia enggan mempercayai berita berkenaan sehingga pihak Kumpulan Karangkraf memberi maklumat terperinci mengenai cabutan bertuah yang dimenangi.
"Jujur saya katakan yang saya tak percaya dengan mesej yang diterima ini tetapi selepas diberi penjelasan, saya benar-benar terkesima. Saya tak percaya nilai RM170 yang dibelanjakan itu pada akhirnya dapat pakej umrah dengan nilai RM6,390.
"Ini betul-betul rezeki yang tidak disangka-sangka. Saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak Kumpulan Karangkraf dan Andalusia kerana beri hadiah paling berharga ini,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai tarikh untuk menunaikan umrah, Noorlaili berkata, dia belum memilih tarikh untuk berangkat ke Tanah Suci.
Menurutnya, pelbagai perkara perlu difikirkan dan diselesaikan sebelum mengerjakan ibadah itu terutamanya ‘hutang’ pembelajaran pelajar di sekolah.
"Saya guru yang mengajar pelajar Tingkatan Lima, saya tidak boleh tinggalkan mereka dalam keadaan tidak bersedia. Seboleh-bolehnya, saya nak mengerjakan umrah dengan hati yang tenang.
"Mungkin saya ke Tanah Suci Makkah setelah pelajar bersedia untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia. Insya-ALLAH ketika itu saya akan tenang kerana tanggungjawab mengajar telah selesai,” jelas Noorlaili.
Ruang dan peluang
Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Andalusia, Izzati Ibrahim berkata, pakej umrah yang dimenangi Noorlaili merupakan Pakej Umrah Transit (Sharjah) Air Arabia Sharjah yang mana tajaan full board untuk 12 hari 10 malam.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana menjadi sebahagian daripada pihak yang menjayakan Karnival Rakyat Karangkraf.
Katanya, ia merupakan peluang menyantuni masyarakat pelbagai latar belakang untuk mereka mengetahui pakej yang ditawarkan Andalusia.
"Ini merupakan pendekatan baharu untuk Andalusia kerana sebelum ini, kami banyak buat program atau pameran di masjid. Jadi perkara yang disampaikan ini sekadar kepada mereka yang hadir ke masjid sahaja.
"Berbeza dengan karnival ini kerana kami berpeluang untuk mendekati masyarakat tidak kira yang bekerja atau sebaliknya. Di karnival ini mereka boleh tanya secara terus tentang pakej umrah dan pelancongan yang kami sediakan,” katanya.
Pada masa sama, Izzati memaklumkan bahawa pihaknya bersedia bekerjasama bersama Kumpulan Karangkraf selagi acara yang diketengahkan itu membawa manfaat kepada orang ramai.