LONDON - Britain menyaksikan gelombang rusuhan terburuk dalam tempoh 13 tahun selepas protes antipendatang yang menyasarkan Muslim melanda negara itu, sekali gus menjadi cabaran getir pertama terpaksa dihadapi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Keir Starmer.
Ia berpunca daripada kejadian tiga kanak-kanak maut ditikam di Southport pada akhir bulan lalu yang kemudiannya dipersalahkan terhadap migran Muslim, gara-gara penyebaran maklumat salah yang sengaja membangkitkan sentimen antipendatang di beberapa bandar termasuk Rotherham dan Manchester.
Rusuhan ganas itu bermula apabila penunjuk perasaan antimigran menyerang sebuah hotel yang menempatkan pemohon suaka di Rotherham dan demonstrasi sayap kanan itu akhirnya merebak di Liverpool, Manchester dan Bristol.
Penunjuk perasaan turut bertempur dengan pasukan keselamatan dan bertindak luar kawalan hingga merosakkan harta benda awam termasuk merompak premis perniagaan.
"Kita sedang berdepan 'tsunami rusuhan' di bandar-bandar utama,” kata jurucakap Persekutuan Polis England dan Wales, Tiffany Lynch selepas protes ganas itu berlarutan selama seminggu.
Kerajaan terpaksa mengerahkan segala sumber yang ada untuk menangani krisis tersebut yang berpunca daripada khabar angin tentang latar belakang suspek, Axel Rudakubana, 17, yang sebenarnya ialah warga tempatan.
Maklumat salah yang disebarkan secara meluas di media sosial mendakwa Rudakubana adalah migran Muslim hingga mengundang kemarahan penyokong sayap kanan yang sememangnya menentang keras kehadiran golongan itu di London.
Bagi membetulkan fakta, Hakim Andrew Menary mengesahkan suspek yang berdepan tuduhan membunuh itu adalah kelahiran Wales manakala kedua-dua ibu bapanya penganut Kristian berketurunan Rwanda.
Aktivis haluan kanan bagaimanapun tidak peduli malah mencurah lagi minyak ke dalam api dengan mengeksploitasi kejadian tersebut untuk menyebarkan mesej Islamofobia dan propaganda antipendatang.
Mereka mengadakan demonstrasi secara dalam talian dengan slogan provokasi seperti 'enough is enough' dan 'stop the boats' bagi mengekang kemasukan migran.
Tommy Robinson pencetus huru-hara
Dalang utama yang memporak-perandakan negara itu ialah Stephen Yaxley-Lennon atau dikenali sebagai Tommy Robinson yang merupakan bekas pemimpin Liga Pertahanan Inggeris (EDL) yang mempengaruhi aktivisme sayap kanan menerusi platform media sosial.
Pada 2018, EDL disekat daripada Twitter, namun akaun itu dikembalikan semula selepas Elon Musk mengambil alih platform itu yang dijenamakan semula sebagai X.
Kumpulan itu memperjuangkan retorik anti-Islam dan menganjurkan protes agresif hingga menyaksikan Robinson pernah disabit bersalah atas kes serangan, menghina mahkamah dan jenayah lain.
Meskipun berimej buruk, dia terus menjadi tokoh polarisasi di Britain.
Dia turut meraih sokongan besar malah perhimpunan sayap kanan anjurannya telah mencetuskan kebimbangan tentang potensi keganasan dan kekacauan awam.
Robinson sekali lagi didakwa menghasut keganasan terbaharu itu selepas ahli Parlimen, Lewis Atkinson mengaitkan gelombang rusuhan itu dengan saki-baki anggota EDL.
Profesor Rosa Freedman di University of Reading berkata, rusuhan itu adalah hasil daripada keterlibatan kerajaan terdahulu, Konservatif dengan kumpulan rasis haluan kanan.
"Mereka tidak lagi bergerak secara rahsia malah berani untuk tampil di khalayak umum. Kita tidak boleh mempersalahkan kerajaan pimpinan Parti Buruh yang baru memegang kuasa selama beberapa minggu,” jelasnya.
Ahli veteran Buruh, Diane Abbott menyifatkan rusuhan antimigran itu berlaku pada skala yang tidak pernah dilihat sebelum ini kerana ia mengancam seluruh negara.
Sementara itu, penasihat bebas untuk semakan ke atas perpaduan sosial dan daya tahan terhadap ekstremisme, Dame Sara Khan berkata, ancaman pelampau semakin serius.
"Britain tidak bersedia. Hal ini kerana terdapat jurang dalam undang-undang negara ini yang membenarkan puak ekstremis itu bermaharajalela tanpa dikenakan hukuman,” katanya. - Agensi