KUALA LUMPUR- Pembangunan teknologi dan inovasi robotik menjadi teras utama transformasi penjenamaan semula penyedia perkhidmatan kesihatan terbesar, KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) dalam mendepani cabaran industri perubatan di Malaysia.
Presiden dan Pengarah Urusannya, Chin Keat Chyuan berkata, transformasi tersebut sejajar dengan objektif penjenamaan baharu yang mengetengahkan keutamaan pesakit sebagai pertumbuhan eksponen dan berdaya saing dalam landskap penjagaan kesihatan.
Menurutnya, perubahan tersebut dapat meningkatkan standard dan memberi pengalaman terbaik kepada pesakit selain memberi tumpuan terhadap inovasi melalui Sistem Kesihatan Akademik.
"Penjenamaan semula yang kami perkenalkan bukan hanya perubahan logo atau rupa baharu, tetapi ia simbol transformasi dan kemajuan KPJ Healthcare seiring dengan peningkatan usaha dalam memberikan penjagaan kesihatan lebih baik yang didorong oleh teknologi serta inovasi.
"Ia juga selari dengan penambahbaikan kami kepada semua pihak berkepentingan.
"Selama lebih empat dekad beroperasi dengan 29 cawangan di seluruh negara, KPJ Healthcare kini semakin memperkukuh usaha penjagaan kesihatan yang semakin berkembang secara dinamik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula KPJ bertemakan ‘Celebration of Our Care for Life Journey’ di Menara KPJ pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Norazman Ayob; Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Dr Ismail Bakar.
Menurut Keat Chyuan, menerusi transformasi itu juga, KPJ Healthcare bakal melaksanakan Pusat Kecemerlangan di seluruh cawangan dengan memberi fokus terhadap bidang ortopedik, onkologi, kardiotoraks, neurologi dan pembedahan menggunakan teknologi robotik secara meluas.
Tambah beliau, jika dahulu untuk membuat pembedahan pintasan jantung memerlukan proses yang kompleks, namun dengan menggunakan teknologi robotik, ia lebih mudah malah tidak akan menyakiti tubuh pesakit.
Ujar beliau, perubahan itu antara transformasi yang akan dilaksanakan bagi memastikan KPJ Healthcare melangkah ke hadapan dengan menyediakan pelbagai kemudahan kesihatan sesuai dengan keadaan semasa.
"Lima Pusat Kecemerlangan ini akan dibina di seluruh 29 hospital kami dan akan memberi fokus terhadap penyakit berkaitan jantung dan paru-paru, neuro, onkologi, ortopedik kerana ramai pesakit yang berusia mengalami masalah lutut dan seterusnya teknologi robotik di bilik pembedahan.
"Ini merupakan permulaan kepada transformasi berperingkat KPJ Healthcare yang dijangka selesai menjelang 2026,” ulasnya.
Inovasi secara holistik
Sementara itu, Syed Mohamed berkata, mereka perlu berubah dengan melakukan pelbagai inovasi secara holistik bagi meningkatkan penjagaan pesakit, mengurangkan kos dan memajukan penyelidikan serta rawatan perubatan.
Jelasnya, dengan mewujudkan kerjasama perkhidmatan dan kesihatan pelbagai disiplin, pendidikan serta ekosistem penyelidikan melalui Sistem Kesihatan Akademik dapat memacu inovasi perubatan di masa hadapan.
"Kita perlu memanfaatkan kemajuan terkini dalam teknologi digital dan inovasi penjagaan kesihatan untuk menyediakan penjagaan peribadi yang berkualiti tinggi.
"Saya membayangkan dengan inovasi teknologi penjagaan kesihatan termaju seperti teleperubatan dan telekesihatan, genomik, kecerdasan buatan (AI), perubatan peribadi termasuk robotik ditawarkan di semua rangkaian KPJ Healthcare kepada pesakit,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Ismail, dalam masa beberapa bulan KPJ Healthcare bakal memperkenalkan pengalaman digital yang lebih lancar kepada pesakit menerusi aplikasi mudah alih.
Tambah beliau, penjenamaan semula itu akan mencerminkan identiti baharu KPJ Healthcare sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan terbesar di Malaysia.
"Beberapa bulan akan datang pelanggan akan melihat hospital dan anak syarikat kami berubah. Saya amat teruja untuk berkongsi inisiatif penjenamaan semula dengan semua,” katanya.
Pemerkasaan digital
Menurut Norazman, KKM juga sedang giat memperkasakan akses laporan kesihatan secara digital bagi memudahkan pemeriksaan dilakukan sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta.
Ujarnya, penggunaan teknologi yang berkesan mampu memudahkan urusan tanpa perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan terbaik daripada fasiliti kesihatan.
"Menerusi pemerkasaan digital dalam bidang kesihatan dapat memudahkan pihak hospital swasta dan kerajaan memeriksa rekod pesakit dengan lebih mudah,” katanya.