KULAI - [DIKEMAS KINI] Penganggur yang tidak mengaku bersalah menculik kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui, didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret Kulai, di sini, pada Khamis.
Tertuduh, Leang Win Son, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki bantal panjang anime kanak-kanak perempuan berbogel dan alat sulit wanita palsu, 24 Julai lalu.
Pengakuan itu dibuat tertuduh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.
Mengikut pertuduhan pertama sehingga keempat, tertuduh didakwa memiliki tiga bantal panjang masing-masing berwarna putih, hijau dan putih merah jambu bergambar anime kanak-kanak perempuan bogel selain satu bantal panjang berwarna putih bergambar anime kanak-kanak perempuan berseluar pendek.
Bagi pertuduhan kelima sehingga ketujuh pula, tertuduh didakwa memiliki tiga alat sulit wanita palsu.
Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Kesalahan berkenaan dilakukan di kediamannya di Taman Sri Kulai, di sini, kira-kira jam 4 petang, pada 24 Julai lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Joharuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Zafirah Norizan dan Ungku Ahmad Hafis Ungku Fathil.
Nor Fadilah menawarkan jaminan sebanyak RM21,000 namun peguam tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh tidak bekerja dan ditanggung ibunya.
Pihak peguam memaklumkan ibu tertuduh adalah ibu tunggal yang membuat pelbagai pekerjaan bagi menanggung hidup mereka termasuk bekerja sebagai tukang rumah dengan gaji bulanan tidak lebih RM3,000 sebulan.
Majistret kemudian memerintahkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 bagi semua tujuh pertuduhan dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 September depan bagi pengurusan kes.