KEJOHANAN Pestabola Merdeka yang akan berlangsung pada 4 September ini mendapat tamparan apabila beberapa ultras negeri bertindak memboikot kejohanan edisi ke-43 itu.
Rata-rata ultras tersebut yang merupakan antara sebahagian daripada penyokong setia yang sentiasa mewarnai setiap kali aksi pasukan kebangsaan menyatakan keputusan mereka untuk tidak akan turun kesemua perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.
Empat ultras menyuarakan pendirian mereka iaitu daripada Negeri Sembilan, Pahang, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang memberikan alasan kepincangan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadi punca utama mereka melakukan boikot.
Malah, mereka turut menyifatkan keadaan situasi Liga Malaysia (Liga-M) yang huru -hara menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong bola sepak Malaysia.
Ultras Panthers dalam satu hantaran di laman X menghuraikan sebab mereka memboikot selain melancarkan kempen #resetbolasepakMalaysia.
"Setelah perbincangan dilakukan dan maka dengan seteguh semangat dan sebulat kata, Ultras Panthers tidak akan turun untuk semua perlawanan di Pestabola Merdeka 2024. FAM dan MFL gagal!
"(Ia berkaitan) isu peletakan jawatan coach Kim Pan-gon yang sangat kontroversi dan jawapan dari FAM penuh sandiwara.
"Keadaan pengurusan Liga Malaysia yang makin merapu dari Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) serta beberapa keputusan dari MFL dan FAM berkait isu-isu semasa baru-baru ini yang menimbulkan banyak keraguan dan tiada penjelasan.
"Kegagalan FAM dalam mengatur perlawanan persahabatan yang diminta Pan-gon sebelum Kelayakan Piala Dunia baru-baru ini membawa kepada kegagalan layak ke pusingan ketiga.
"FAM tidak mengambil serius isu surat layang berkaitan kebobrokan peringkat dalaman FAM dan tiada empati atas kejadian yang menimpa pemain kebangsaan terutama kes Faisal Halim," katanya dalam hantaran tersebut.
Dalam pada itu, ultras Kuala Lumpur atau CityBoys turut menyatakan pendirian boikot mereka selepas kecelaruan yang berlaku dalam saingan liga.
"FAM sepatutnya lebih memberi tumpuan kepada perlawanan liga yang sedang berlangsung. Banyak perkara yang merumitkan pasukan dalam Liga Super dan lain lain yang tidak diambil kisah. Ini sekali gus memberi kesan kepada pemain," kata mereka dalam laman X.
Pada pertandingan bola sepak berprestij Asia yang memasuki edisi ke-43 itu, Malaysia diundi bertemu Filipina sementara juara bertahan Tajikistan berdepan Lubnan dalam aksi separuh akhir pada 4 September sebelum pemenang akan berentap di final empat hari kemudian.