Scam pelaburan: Kakitangan swasta, penganggur paling ramai jadi mangsa

Iklan
Seramai 8,655 individu menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan sejak tahun lalu membabitkan kerugian mencecah RM875.4 juta. Gambar hiasan (Gambar kecil: Ramli)

SHAH ALAM - Seramai 8,655 individu menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan sejak tahun lalu membabitkan kerugian mencecah RM875.4 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, statistik setakat Julai lalu itu mendapati mangsa terdiri daripada 4,334 lelaki dan 4,321 wanita.

Iklan
Iklan

Menurutnya, daripada jumlah itu, mangsa daripada kalangan sektor swasta merekodkan jumlah tertinggi iaitu 4,612 orang diikuti penganggur seramai 1,180 orang.

"Selebihnya mangsa yang terdiri daripada kalangan guru, kerani kerajaan dan swasta serta petugas keselamatan," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Beliau berkata, sikap tamak selain jahil antara faktor utama menyebabkan orang ramai mudah terjerat dengan pelaburan palsu ini.

"Ramai kurang kesedaran berkaitan iklan pelaburan terutamanya yang dipaparkan menerusi media sosial selain sikap mudah percaya.

Iklan

"Selain itu, mangsa turut terperangkap dengan janji manis ditawarkan sindiket kononnya pelaburan ditawarkan menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh singkat," ujarnya.

Mengulas mengenai sindiket pelaburan yang berkemungkinan terlibat dalam pengubahan wang haram, Ramli menjelaskan, ini merupakan proses yang digunakan penjenayah untuk menyembunyikan sumber pendapatan haram mereka.

Jelasnya, ia juga adalah proses mencuci wang kotor dan menjadikannya kelihatan bersih supaya sumber wang tersebut tidak dapat dikesan pihak berkuasa.

"Jadi sudah pasti, sindiket pelaburan ini menggunakan hasil daripada aktiviti penipuan pelaburan ini bagi tujuan pengubahan wang haram," katanya.

Justeru, masyarakat diminta menyemak sebarang tawaran pelaburan meragukan.

"Kerajaan telah menubuhkan Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) untuk kemudahan masyarakat bertanya apa sahaja mengenai penipuan dan boleh menghubungi melalui talian 997.

"Selain itu, masyarakat juga boleh membuat semakan nombor akaun bank, nombor telefon dan nama syarikat yang diragui melalui CCID Portal di alamat https://semakmule.rmp.gov.my," katanya.