BERA - Kesedaran pemilik tanah dan promosi berterusan yang dilakukan kerajaan negeri membantu meningkatkan kutipan hasil tanah di daerah ini.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, sebanyak RM39.42 juta berjaya dikutip pada tahun ini sehingga 7 Ogos lalu sekali gus melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu RM35.98 juta bagi tempoh tersebut.
"Alhamdulillah kutipan kita memang melebihi sasaran dan ini kerana kesedaran pemilik-pemilik tanah untuk membayar cukai tanah serta promosi yang dilakukan.
"Selain itu, tawaran yang diberikan kerajaan negeri memanjangkan tempoh insentif pengecualian denda lewat yang sepatutnya hingga Mei dipanjangkan ke November juga menyebabkan pemilik tanah membayar lebih cepat dan tepat pada masanya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Karnival Tanah Peringkat Bera di Dewan Kompleks Rakan Mudah Bera di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pegawai Daerah Bera, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek dan ADUN Kemayan, Khaizulnizam Mohd Zuldin.
Dalam pada itu, Sabariah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai berkata, pada tahun lepas, Bera berjaya mencapai kutipan RM49.64 juta hasil tanah keseluruhan berbanding sasaran asal RM33.80 juta bersamaan 146.83 peratus daripada sasaran yang diletakkan kerajaan negeri.
"Pencapaian ini sangat membanggakan dan patut diberikan penghargaan sekali gus membuktikan komitmen seluruh warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Bera dalam memastikan sasaran kutipan hasil tercapai," ujarnya.
Selain reruai pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, pelbagai aktiviti seperti cabutan bertuah dijalankan termasuk belon panas yang julung kalinya dianjurkan sekali gus menjadi tarikan pengunjung karnival.
Turut diperkenalkan logo karnival bagi daerah itu yang diharapkan dapat mendekatkan lagi jenama program itu kepada masyarakat di Bera.