IWK rai 380 kakitangan di Majlis Konvokesyen SKM 2024

Iklan
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (empat dari kanan, depan) dan Pengerusi IWK, Ahmad Johnie Zawawi bergambar bersama kakitangan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd meraikan 380 kakitangannya di Majlis Konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) 2024 pada Khamis.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengiktirafan itu dilihat akan meningkatkan kecemerlangan syarikat tersebut dan melahirkan lebih ramai pekerja mahir melalui Persijilan Kemahiran Malaysia.

Iklan
Iklan

"Saya percaya IWK telah melakukan yang terbaik dalam membentuk dan menyediakan landasan sesuai untuk warga kerjanya.

"Sebagai peneraju industri pembetungan negara, IWK perlu menunjukkan contoh teladan kepada pemain industri lain, terutamanya pengendali pembetungan di rantau ini dan seterusnya di peringkat global," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Majlis Konvokesyen SKM 2024 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Mengulas lanjut beliau memaklumkan, Malaysia perlu mendapatkan semula gelaran 'Tiger of Asia' menerusi pemerkasaan dalam bidang kemahiran seperti SKM dan TVET bagi melahirkan lebih ramai pekerja mahir.

Iklan

Tambah beliau, pemikiran secara kreatif dan inovasi sangat penting apabila menyebut mengenai kemahiran supaya mutu kerja akan sentiasa bertambah baik dari semasa ke semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) melakukan gimik pelancaran Majlis Konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis.

"Itulah yang dikatakan kita memerlukan pekerja yang mahir, berkreativiti dan inovatif agar dapat mencari penyesaian kepada apa saja masalah dihadapi.

"Harapan saya apabila melihat kepada pelaksanaan program di bawah IWK ini, bidang lain juga perlu diperkasakan menerusi kaedah atau inisiatif bersesuaian bagi memastikan Malaysia sentiasa berada di hadapan," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi IWK, Ahmad Johnie Zawawi berkata sebagai sebuah organisasi yang berfokus kepada penyediaan perkhidmatan penting kepada orang ramai, IWK telah melalui fasa turun naik sejak tiga dekad lalu.

"Ini khususnya bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan kekal cekap demi memelihara kesejahteraan rakyat. Atas hakikat inilah, budaya kerja di IWK amat mementingkan peningkatan kemahiran yang berterusan di kalangan warga kerja.

"Terdapat tiga jenis kategori yang dianugerahkan hari ini iaitu Sijil Penganugerahan Pengiktirafan Khas SKM Tahap 3 dan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) serta Penganugerahan SKM Tahap 2.

"Saya berharap semua kakitangan akan memberikan komitmen dan mencabar diri melakukan kerja dengan berkualiti bagi meningkatkan kompetensi selaras dengan sasaran perniagaan syarikat," ujar beliau.