MALAYSIA perlu lebih pantas dan mempertingkatkan kecekapan dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) untuk terus menjadi pengeluar utama semikonduktor dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sektor E&E menjadi antara industri penting kepada negara yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi sejak era 70-an.
Menurutnya, Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan unggul sekali gus menarik pelaburan bertaraf dunia bagi meningkatkan ekonomi negara.
"Saya percaya semua pihak berkongsi pandangan sama di mana kita tidak boleh meletakkan sasaran menjadi pemain industri yang berjaya dalam teknologi baharu jika kita masih bekerja pada tahap sama.
"Terdapat beberapa cabaran lain, tetapi saya yakin, kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk sentiasa bekerjasama bersama pelabur dalam memastikan negara ini sentiasa menarik buat pelabur,” katanya pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Infineon Technologies (Kulim) pada Khamis.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Infineon Technologies AG, Jochen Hanebeck.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kemudahan baru milik Infineon itu akan meningkatkan imej Malaysia di peringkat global dalam menarik lebih banyak pelaburan bertaraf dunia.
Perdana Menteri berkata, Malaysia kini berbangga apabila kemudahan pengeluaran semikonduktor milik Infineon itu adalah yang terbesar di dunia dan hasil produknya dieksport ke peringkat global.
"Projek luar biasa Infineon ini akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor global yang semakin meningkat dan ini menjadi daya tarikan utama pelabur ke negara ini.
"Ini juga akan menyokong usaha Malaysia dalam meningkatkan kecekapan dalam pelbagai industri lain termasuk dalam bidang pembuatan kereta elektrik, bateri dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Infineon telah beroperasi di negara ini selama 50 tahun sejak 1973 dan Malaysia menjadi hab penting bagi Infineon dalam pembuatan fabrikasi wafer (Kulim, Kedah) dan aktiviti pembungkusan semikonduktor cip (Melaka).
Kilang baharu di Kulim pula bakal menawarkan 4,000 pekerjaan baharu termasuk 1,500 jawatan bernilai tinggi.
Infineon telah melabur 2 bilion euro (RM9.8 bilion) dalam fasa pertama dengan tambahan 5 bilion euro (RM25 bilion) dirancang untuk pengembangan masa depan.