Prihatin belanja RM10 juta bantu penuntut universiti

Iklan
Sahol Hamid (dua dari kiri) dan Naib Canselor UiTM, Datuk Dr Shahrin Sahib (dua dari kanan) pada Majlis MoU HASA UiTM Puncak Alam dan Prihatin pada Khamis.

KUALA SELANGOR - Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) telah membelanjakan sebanyak RM10 juta bagi menyalurkan bantuan kepada penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara pada tahun lalu.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Prihatin, Profesor Emeritus Tan Sri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO), menjadi tanggungjawab Prihatin membantu kebajikan penuntut universiti terutama bagi keluarga asnaf dalam kalangan B40.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, Prihatin telah menyampaikan beberapa bantuan berbentuk wang tunai, barangan elektronik, keperluan asas dan cermin mata.

"Kita turut membantu kolej kediaman di universiti dengan peralatan pelbagai yang bertujuan membantu mengurangkan beban penuntut selain memastikan mereka tiada masalah tidak ada duit membeli makanan dan sebagainya," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama (MoU) Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) UiTM Puncak Alam dan Yayasan Prihatin Nasional di Bilik Persidangan 1, Aras 2 di sini pada Khamis.

Mengulas mengenai MoU itu, Sahol Hamid berkata, HASA UiTM menjadi IPT ke-16 menjalin MoU bersama Prihatin sejak program itu dilaksanakan pada 2010.

Iklan

Ujar beliau, MOU itu titik permulaan yang mencerminkan semangat kerjasama kuat dan komitmen yang tinggi antara kedua-dua pihak dalam mencapai matlamat sama.

"Kita berharap dapat melaksanakan pelbagai program yang dapat memberi impak positif kepada komuniti, seperti program khidmat masyarakat, pembangunan modal insan pelajar, bantuan sara hidup, bantuan peralatan dan pelbagai inisiatif lain sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak memerlukan," tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga dengan kerjasama Panas Express meneroka peluang untuk membuka sebuah kedai serbaguna yang beroperasi sepenuhnya tanpa kakitangan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

"Sehingga kini kita telah membuka 30 cawangan kedai serbaneka AI di universiti awam dan swasta dan akan mengembangkannya di pusat perubatan pada masa akan datang," ujar beliau.