Penganggur didakwa halang tugas, cederakan polis

Iklan
Gambar hiasan

TELUK INTAN - Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan menghalang dan mencederakan dua anggota polis yang sedang menjalankan tugas dalam kejadian pada minggu lepas.

Lok Yik Hoong, 43, mengaku tidak bersalah selepas empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin dan Majistret T Ashvinii.

Iklan
Iklan

Di Mahkamah Sesyen, Yik Hoong didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Detektif Koperal Mohd Rasyidi Che Ross, 42, menggunakan senjata berbahaya yang mungkin menyebabkan kematian iaitu sebilah parang di sebuah rumah di Padang Tembak, di sini pada 1 Ogos lepas.

Dia dituduh di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua, Yik Hoong didakwa memiliki dadah jenis kanabis dianggar seberat 84.72 gram di lokasi dan hari yang sama serta didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Noor Aisyah Mat Isa menawarkan jaminan RM15,000 dan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai berdekatan sebulan sekali serta tidak dibenarkan mengganggu mangsa, manakala pertuduhan kedua pula tiada jaminan ditawarkan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh yang tidak diwakili peguam perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan, tidak mengganggu mangsa selain menetapkan 10 September untuk sebutan semula kes bagi pertuduhan pertama dan 29 Oktober bagi laporan kimia.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Yik Hoong didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan parang ke atas Inspektor Tie Ngie Sieng, 34, di lokasi dan tarikh sama mengikut Seksyen 324 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Yik Hoong turut didakwa menghalang beberapa anggota polis semasa menjalankan fungsi jawatan iaitu untuk membuat serbuan di rumah tertuduh apabila bertindak secara agresif dengan menjerit dan mengamuk serta melibas parang kepada anggota polis bertugas di lokasi dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta yang sama, dan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau dengan denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Ainaa Liyana Mohd Talal menawarkan jaminan RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan meminta supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai manakala peguam S Kumaresan memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh tiada pekerjaan tetap dan sudah bercerai.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, tertuduh tidak dibenarkan berjumpa mangsa serta perlu melapor diri di balai berdekatan dua minggu sekali sehingga kes selesai dan menetapkan 10 September sebagai tarikh sebutan semula kes. - Bernama