Pelaburan bertambah meskipun berbeza pendirian dengan barat isu Gaza - Anwar

Iklan
Anwar (tengah) menyampaikan ucapan pada Sesi Libat Urus Belanjawan 2025 Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Bersama Pemain Industri Elektrik dan Elektronik (E&E) di SilTerra Malaysia pada Khamis. Foto Bernama

KULIM - [DIKEMAS KINI] Negara terus menerima lonjakan pelaburan meskipun pendirian Malaysia bertentangan dengan negara-negara Eropah dalam isu Gaza, kata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pertambahan pelaburan itu termasuklah dalam bidang elektrik dan elektonik (E&E) yang terus menjadi fokus utama Malaysia.

Iklan
Iklan

"(Pelaburan) E&E dari Amerika Syarikat (AS) besar, 26 peratus. Thats huge (ini amat besar) sebab itu walaupun beberapa pendirian (negara) dalam soal Gaza juga keras dan berbeza, bertentangan dengan AS tetapi dari segi pelaburan, dia juga jaga kepentingan dia, kita juga jaga kepentingan kita. Sebab itu pelaburan tetap bertambah.

"Tetapi kita juga beralih ke negara China dari segi E&E juga tumbuh selain EV (kenderaan elektrik). China dapat mengatasi dari segi kos dan kecekapan terutama dalam pengeluaran bateri," kata beliau pada sesi libat urus Belanjawan 2025 bersama pemain industri E&E di kilang SilTerra Malaysia di sini, hari ini.

Iklan

Selain itu, Anwar berkata, rakan sejawat beliau dari Jerman Canselor Olaf Scholz juga memberikan sokongan kepada syarikat gergasi semikonduktor negara tersebut, Infineon Technologies AG, untuk membuat pelaburan besar di Malaysia walaupun berbeza pendapat dalam soal Gaza.

Beliau berkata, walaupun ekosistem Malaysia berada pada tahap yang baik tetapi negara perlu membuat persiapan untuk mengembangkan industri berkenaan termasuk memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kejuruteraan.

Iklan

Justeru, Perdana Menteri memaklumkan akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memungkinkan Universiti Utara Malaysia (UUM) membuka jabatan atau fakulti kejuruteraan untuk memenuhi keperluan mendesak negara yang memerlukan tenaga kerja dalam bidang tersebut termasuk Kecerdasan Buatan (AI).

"Namun, ia bukan kejuruteraan biasa tetapi disiplin itu mesti diperbaiki (dengan) menambah digital AI kerana AI ini dikuasai sebenarnya oleh jurutera. Jadi, sinergi itu penting," kata beliau.

Mengenai sesi libat urus hari ini, Anwar berkata, ia adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada industri serta pemegang taruh meliputi dasar, insentif, program dan pelaksanaan sebelum dibawa untuk diteliti Kementerian Kewangan agar dapat disesuaikan dengan Belanjawan Madani 2025.

"Kami perlu mendapatkan input anda, nasihat anda. Input anda adalah penting. Kami akan menyelaraskan dan cuba menambah baik terutamanya apabila kami mengumumkan belanjawan kami menjelang Oktober.

"Bajet ini penting kerana beberapa bulan lepas, Malaysia kini dianggap sebagai hab semikonduktor di rantau ini," kata beliau.

Lebih 70 pemain industri E&E daripada 52 syarikat berpangkalan di Kedah, Pulau Pinang dan Perak menyertai sesi libat urus tersebut yang turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Belanjawan 2025 yang merupakan belanjawan ketiga di bawah Kerajaan Perpaduan akan dibentangkan pada 18 Oktober depan di Dewan Rakyat.

Mengenai pengukuhan ringgit sejak mutakhir ini, Anwar berkata, ia menambahkan keyakinan bahawa Malaysia berada di landasan yang baik namun negara tidak boleh terlalu selesa dan perlu menambah baik lagi prestasi. - Bernamakejuruteraan