Empat along didakwa simbah cat rumah peminjam

Iklan
Kesemua tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Khamis.

MELAKA - Empat along termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tuduhan bersubahat dan melakukan khianat dengan cara menyimbah cat terhadap harta milik keluarga peminjam wang.

Tertuduh, Muhammad Amir Suhaimi,18; Musmuliadi Suhaimi, 43, dan Putri Noviana, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah manakala Ahmad Zamarulhisham Suhaimi, 23, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Iklan
Iklan

Berdasarkan lima pertuduhan, Muhammad Amir dan Ahmad Zamarulhisham yang juga adik beradik telah mencapai niat bersama melakukan khianat dengan cara menyimbah cat berwarna biru dan hijau terhadap pelbagai harta benda milik keluarga peminjam sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM2,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Limbongan Permai, Taman Bukit Rambai, Kampung Telok Bukit Katil, Taman Pantai Emas dan Taman Bukit Tasik Utama di sini, pada 11 dan 14 Julai lalu.

Iklan

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau denda keduanya sekali, jika disabit kesalahan.

Sementara itu, Musmuliadi dan Putri Noviana didakwa atas lima pertuduhan di bawah Seksyen 427 KK dibaca bersama Seksyen 109 KK kerana bersubahat melakukan khianat bersama kedua beradik tersebut.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri mencadangkan jaminan berjumlah RM10,000 bagi setiap pertuduhan kepada setiap tertuduh.

Manakala Peguam Nigel Tai yang mewakili Putri Noviana memohon jaminan rendah kerana tertuduh merupakan seorang warga Indonesia yang hanya bekerja sebagai pelayan restoran dan pasportnya disimpan oleh majikan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,000 dan RM4,000 bagi setiap pertuduhan kepada setiap tertuduh manakala Putri Noviana tidak diberikan jaminan.

Mahkamah menetapkan 23 September depan untuk semakan fakta hukuman Ahmad Zamarulhisham dan serahan dokumen bagi tertuduh-tertuduh lain.