Permohonan Daim, keluarga cabar tindakan SPRM beku akaun didengar 9 Disember

Iklan
Na'imah (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 9 Disember untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan keluarganya berhubung tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank mereka.

Peguam Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md Ali, yang mewakili Jabatan Peguam Negara berkata, tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, Siti Nur Hafizah Mohd Sokran ketika pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) hari ini.

Iklan
Iklan

"Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid," katanya ketika dihubungi hari ini.

Prosiding itu turut disertai peguam, Muhammad Firdaus Shaik Alauddin, yang mewakili Daim dan keluarganya.

Iklan

Menerusi permohonan difailkan pada 6 Jun lepas, Daim dan keluarganya memohon perintah bagi membatalkan tindakan SPRM menyita harta alih itu yang dilakukan mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Selain Daim, turut dinamakan sebagai pemohon ialah isterinya, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dan empat anak mereka iaitu Asnida, Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.

Iklan

Sebanyak 18 syarikat juga dinamakan sebagai pemohon iaitu Aad Equity Sdn Bhd, Yayasan Haji Zainuddin, Ilham Baru Sdn Bhd, Anchor Point Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Adrihaniz Sdn Bhd, Syarikat Maluri Sdn Bhd, Amiraz Sdn Bhd, Ridana Sdn Bhd, Daan Sdn Bhd, Maya Seni Holdings Sdn Bhd, Magical Zone Sdn Bhd, Permatang Maju (M) Sdn Bhd, Brainstorms Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Gajah3 Resource Centre Sdn Bhd, Ilham Tower Sdn Bhd dan Selidik Jaya Sdn Bhd.

Mereka menamakan Penolong Penguasa Sektor Sasaran Operasi Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta SPRM, Haris Fadhila Sukaime; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; SPRM; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Mereka memohon deklarasi bahawa tindakan penyitaan harta alih oleh SPRM dan semua tindakan serta keputusan yang diambil oleh responden pertama hingga keempat adalah tidak sah serta terbatal.

Pada 4 Mac lepas, permohonan pertama semakan kehakiman Daim dan keluarga berhubung siasatan SPRM terhadap mereka telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi atas alasan pemohon gagal membuktikan unsur niat jahat pegawai agensi antirasuah itu yang menjalankan siasatan. - Bernama