KUALA LUMPUR - Sebanyak 32 reruai industri pelancongan bakal dihimpunkan sepanjang tiga hari Pameran Pelancongan Langkawi bermula 16 hingga 18 Ogos berlangsung di pusat membeli-belah DatumJelatek.
Penganjurnya, Zainudin Kadir berkata, ia berikutan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mensasarkan 3 juta pelancong tempatan dengan pendapatan sebanyak RM6.7 bilion untuk tahun ini.
"Objektif kami juga untuk mempromosikan tanda pagar #LangkawiMurah untuk membawa seberapa ramai pelancong domestik supaya menjadikan Langkawi sebagai pulau pelancongan nombor satu di Malaysia.
"Jadi apa yang disasarkan dengan RM6.7 bilion itu, saya rasa kita akan capai. Insya-ALLAH,” katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika majlis sidang akhbar Pameran Pelancongan Langkawi dan Cabaran Basikal Lipat Antarabangsa Langkawi 2024 di Pejabat Urusan DatumCorp International dekat sini pada Khamis.
Hadir sama Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dan Pengurus Pelancongan LADA, Dr Azmil Bukhari.
Pameran tersebut turut disokong Tourism Malaysia dan LADA dengan kerjasama DatumCorp International bagi mempromosikan Langkawi secara berterusan.
Tambah Zainudin, pengunjung boleh menikmati potongan diskaun sehingga 40 peratus sepanjang tiga hari pameran berkenaan.
Menurutnya, pakej-pakej tersebut sah sehingga Februari 2025 iaitu pada Tahun Melawat Kedah.
"Potongan diskaun sehingga 40 peratus ini hanya sah pada tiga hari tersebut dan pelancong boleh menggunakannya sehingga Februari tahun depan,” tambahnya.
Ditanya mengenai Pameran Pelancongan Langkawi berlangsung di pusat beli-belah berkenaan, Zainudin berkata, kemudahan disediakan seperti bayaran parking hanya RM2 setiap kemasukan.
"Pengunjung boleh menggunakan LRT dan hanya perlu turun di stesen LRT Jelatek,” katanya ringkas.
Sementara itu, tambah Zainudin, Cabaran Basikal Lipat Antarabangsa 2024 dijalankan pada tarikh dan lokasi yang berlainan kerana mahu menjadikan Langkawi sebagai sebuah pusat pelancongan terbuka.
Ujarnya, pemilihan tarikh pada 24 Ogos itu kerana program tersebut dilaksanakan bukan pada hujung minggu mahupun cuti panjang.
"Inisiatif ini untuk jadikan Langkawi dipenuhi pelancong sepanjang masa. Sempena bulan kemerdekaan ini, kita nak hidupkan tempat ini sebagai lokasi patriotik.
"Kita memang tidak mahu mereka (peserta cabaran) datang waktu cuti kerana ketika itu sudah padat dengan pelancong lain,” jelasnya.