KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) dalam serbuan di sebuah stor di Sentul di sini pada Khamis.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada jam 3.20 pagi hasil risikan selama sebulan.
"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, aktiviti penyelewengan LPG ini dilakukan oleh pemborong berlesen yang telah berada dalam industri ini hampir 30 tahun.
"Pemborong ini disyaki melakukan aktiviti 'decanting' iaitu pemindahan LPG dari tong 14 kilogram (kg) (bersubsidi) kepada tong 50 kg (industri)," katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan di sini pada Khamis.
Mohd Sabri berkata, aktiviti itu dilakukan dalam premis berlesen berkenaan bermula jam 1 pagi hingga 6 pagi untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Aktiviti itu sukar dikesan kerana kedudukan premis ini di lokasi strategik (sukar diakses) dan berada dalam kawasan yang bertutup dan berbumbung," katanya.
Beliau berkata, serbuan itu boleh dikatakan kejayaan yang agak besar terhadap operasi membanteras penyelewengan subsidi oleh KPDN WPKL.
"Pemborong ini dipercayai telah melakukan aktiviti itu sejak dua tahun lalu sehingga sekarang dan aktiviti ini sukar dikesan kerana melibatkan pihak pemborong yang diberikan lesen barang kawalan oleh KPDN," katanya.
Menurutnya, pemborong itu mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana kos untuk menghasilkan LPG 50 kg menggunakan gas subsidi lebih kurang RM100 bagi satu tong.
"Mereka menjual pada harga RM180 hingga RM240 satu tong. Permintaan untuk gas industri meningkat di ibu kota dan harga yang dijual sedikit murah dari harga industri menyebabkan permintaan terhadap gas yang diseleweng ini makin meningkat," katanya.
Mohd Sabri berkata, pihaknya telah menyita 3,500 tong LPG bersubsidi (12 kg dan 14 kg) dan 45 tong LPG industri (50 kg) dengan jumlah keseluruhan barang kawalan adalah sebanyak 49,600 kg LPG.
Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM400,000.
"Kita turut menyita rakaman kemera litar tertutup, telefon bimbit dan dokumen-dokumen yang berkaitan untuk membantu siasatan kes," katanya.
Beliau berkata, dua lelaki warga tempatan yang juga pemilik dan pengurus pemborong berlesen tersebut turut ditahan.
"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melanggar syarat lesen iaitu menjalankan aktiviti 'decanting' di premis yang dilesenkan," ujarnya.