Wanita Melayu dalam sejarah perjuangan kemerdekaan

Iklan

Gerakan penulisan semula sejarah Malaysia yang bermula selepas kemerdekaan menitikberatkan penulisan sejarah yang ditafsir dari kaca mata tempatan. Dalam tempoh ini, sejarah yang diasaskan kepada eurosentrik, androsentrik dan juga sifat partisan dikritik. Sejarawan melakukan pelbagai usaha untuk mengetengahkan sejarah yang tepat dan disandarkan kepada bukti yang kukuh.

Namun begitu, inisiatif mendokumentasikan tentang tokoh pejuang wanita masih agak terpinggir dalam usaha berkenaan. Perkembangan ini menyebabkan sejarah kemerdekaan negara tidak difahami dengan menyeluruh.

Iklan
Iklan

Tokoh pejuang wanita seperti Aisyah Ghani, Katijah Sidek, Ibu Zain, Putih Mariah Ibrahim Rashad, Sakinah Junied dan Shamsiah Fakeh, sebagai contohnya masih kurang popular, khususnya dalam kalangan generasi muda masa kini.

Pengalaman politik tokoh berkenaan yang sepatutnya dimanfaatkan dalam pembinaan jati diri dan menginspirasikan mereka untuk lebih cintakan negara tidak dapat direalisasikan.

Iklan

Secara jelasnya, pengabaian kepada pejuang wanita ini merugikan negara dan umum mengetahui, kejahilan sejarah menghalang pembentukan jiwa merdeka.

Sebelum merdeka, para pejuang wanita di Tanah Melayu mempunyai pengaruh, impak serta jasa dan sumbangan kepada masyarakat sezaman. Manakala, sebahagian daripada mereka turut terlibat aktif dalam perjuangan memperkasakan wanita di tanah air selepas kemerdekaan.

Iklan

Intipati sejarah perjuangan mereka mampu mendorong wanita hari ini untuk lebih menghargai diri dan dalam masa yang sama sentiasa bersedia berkorban untuk bangsa dan negara.

Ringkasnya, kisah teladan berkenaan pejuang wanita boleh diketengahkan sebagai wadah untuk membantu wanita masa kini mencari titik tengah yang memberi keseimbangan dalam kehidupan mereka.

Tiga tokoh: Tiga jalan berbeza

Madrasah Diniyyah Puteri, Padang Panjang Sumatera menjadi institusi pendidikan yang membentuk karakter luaran dan dalaman tiga tokoh wanita pejuang kemerdekaan

Tokoh tiga tokoh pejuang wanita yang menuntut kemerdekaan akan diketengahkan di dalam artikel ini.

Mereka adalah Aishah Ghani (Tan Sri Datin Paduka Seri Hajah), Sakinah Junid (Puan Sri Datin Seri Panglima) dan Shamsiah Fakeh. Ketiga-tiga mereka pernah menuntut di sekolah yang sama. Mereka mendapat pendidikan di di Madrasah Diniyyah Puteri di Padang Panjang Sumatera. Pengalaman di sekolah berkenaan memberi kesan kepada pemikiran mereka dan tanggapan mereka tentang kehidupan.

Keperibadian mereka sebagai pemimpin disuburkan sepanjang berada di sekolah berkenaan. Ini kerana para guru di Diniyyah Puteri menerapkan kesedaran dan mendedahkan mereka kepada semangat perjuangan, reformasi agama dan emansipasi wanita.

Selain latihan pengucapan awam, kurikulum sekolah juga membolehkan mereka menguasai pelbagai bahasa. Semua kemahiran ini membantu melonjakkan kedudukan dan karisma mereka setelah kembali ke tanah air dan terlibat dalam dunia politik.

Tiga tokoh ini pada mulanya menyertai Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Bahkan, Aishah dan Shamsiah pernah memegang tampuk pimpinan sebagai ketua AWAS di Tanah Melayu. Sakinah pula merupakan sosok penting yang dominan dalam gerakan AWAS di Perak.

AISYAH

sumber: https://pustakailmu.arkib.gov.my/index.php/ms/pustaka-ilmu/kenali-tokoh/tan-sri-datin-paduka-seri-hajah-aishah-ghani

Namun, ketiga-tiga mereka memilih jalan yang berbeza setelah keluar dari AWAS. Aishah Ghani menyertai UMNO pada 1949 dan beliau menabur bakti dengan berjuang mengisi kemerdekaan melalui parti tersebut.

Komitmen utama dalam perjuangannya adalah untuk memperbaiki keadaan wanita dan misi utamanya adalah untuk memperkasakan kedudukan wanita. Kredibilitinya menyebabkan beliau dilantik untuk memegang pelbagai jawatan dalam parti dan kerajaan.

Beliau menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai senator di Malaysia. Manakala di peringkat antarabangsa, beliau merupakan wakil wanita pertama ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

SHAMSIAH

Sumber: https://soscili.my/aku-tak-menyesal-lawan-british-tak-menyesal-masuk-hutan-dan-masuk-komunis-shamsiah-fakeh/

Pengganti Aishah dalam AWAS iaitu Shamsiah dianggap sosok pejuang kemerdekaan yang berpengaruh mulai 1946. AWAS mencapai zaman kemuncaknya semasa di bawah pimpinan Shamsiah.

Namun, beberapa minggu sebelum perisytiharan darurat pada 1948, beliau memutuskan untuk mengangkat senjata dan berjuang menuntut kemerdekaan di bawah Parti Komunis Malaysia (PKM).

Keputusannya menyertai PKM menyebabkan beliau dihalang untuk kembali ke tanah air setelah merdeka. Shamsiah hanya dibenarkan kembali ke Malaysia pada 1994.

Shamsiah percaya sehingga ke akhir hayatnya bahawa perjuangannya menuntut kemerdekaan Tanah Melayu melalui PKM adalah keputusan yang tepat kerana PKM berjaya menggugat kuasa British di Tanah Melayu.

SAKINAH

Sumber: Ratna Inzah, 2021, hlm. 173

Sementara itu, Sakinah menempa nama di Perak sejak fasa awal perjuangannya dan terkenal dengan julukan ‘Wanita Zaman Atom’.

Kegigihan dan semangat anti-penjajahan yang didukungnya ketika melawan British di dalam AWAS sepanjang 1945-1948 membuktikan beliau seorang yang berdarah kebangsaan dan keagamaan, serta politikus yang berkeyakinan tinggi.

Mulai 1950-an, Sakinah berjuang melalui Parti Islam Se- Malaysia (Pas). Pada tahun 1963, Sakinah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung Dewan Muslimat Pas, sehinggalah pada 1983.

Beliau menamatkan khidmatnya pada tahun berkenaan setelah krisis dalaman yang melibatkan suaminya membuatkan mereka meninggalkan Pas dan meneruskan perjuangannya melalui HAMIM.

Perbincangan di atas menunjukkan tiga tokoh yang pada awalnya berkongsi medium perjuangan yang sama pada akhirnya memilih tiga jalan yang berbeza.

Dalam usaha merealisasikan keinginan mereka untuk merdeka ketiga-tiga mereka memilih pendekatan dan idea politik yang bertentangan antara satu sama lain.

Perkembangan ini adalah manifestasi kepada kedinamikan yang berlaku dalam masyarakat ketika itu. Jelasnya, kajian mendalam dan teliti berhubung pejuang wanita dalam menuntut kemerdekaan sangat perlu demi mendapatkan gambaran yang lebih terperinci berhubung sejarah kemerdekaan negara.

Walaupun bentuk cabaran dan perjuangan berbeza pada ketika ini, semangat dan sikap mereka kekal relevan untuk dijadikan panduan.

Namun begitu, usaha mendokumentasi berhubung tokoh wanita yang disarankan ini tidak bermaksud untuk menafikan atau mengurangkan usaha mendokumentasikan pejuang kemerdekaan yang lain.

Setiap warga Malaysia yang menikmati kemerdekaan hari ini terhutang budi kepada semua pejuang terdahulu.

Semua naratif tentang pengorbanan dan keberanian para pejuang tanah air perlu didokumentasikan sebagai pengajaran bagi generasi masa kini dan akan datang.

Prof Madya Dr Nazirah Lee

Jabatan Sejarah

Fakulti Sains Kemanusiaan

Universiti Pendidikan Sultan Idris