Pelaku rasuah dicadang lucut jawatan, tiada kenaikan pangkat

Iklan
Zainal Adnan. Laporan Sinar Harian

SHAH ALAM - Individu yang terbukti bersalah melakukan kesalahan rasuah dicadangkan untuk dilucutkan jawatan dan tiada kenaikan pangkat untuk satu jangka masa tertentu atau buat selama-lamanya.

Yang Dipertua Ikram Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, hukuman tersebut adalah sebagai isyarat betapa seriusnya kesalahan yang dilakukan dan bertujuan untuk memberi amaran kepada individu lain tentang konsekuensi terlibat dalam aktiviti rasuah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak pengurusan teratas syarikat perlu mengambil langkah itu untuk membanteras gejala rasuah di syarikat mereka.

"Pelaku rasuah adalah musuh nombor satu negara. Rasuah menyebabkan imej syarikat terjejas dan juga mengakibatkan pembaziran serta ketirisan sumber yang sepatutnya boleh di salurkan kepada perkara lebih bermanfaat.

Iklan

"Selain itu, rasuah juga penyebab kepada keruntuhan moral dan sosial yang meluas. Usaha berterusan untuk memerangi rasuah adalah penting bagi kelestarian negara serta kesejahteraan masyarakat," ujarnya.

Sebelum itu, dua pegawai kanan sebuah syarikat direman tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM14,000.

Iklan

Perintah reman terhadap suspek berusia 30 hingga 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret, Syed Farid Syed Ali setelah permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa.

Reman terhadap suspek bermula pada 6 Ogos sehingga 12 Ogos depan.

Tambah beliau, pelaku rasuah dalam kalangan pegawai kanan syarikat adalah disebabkan perasaan tamak dan ingin mendapat hasil yang mudah.

"Mereka juga melihat peluang terhidang di depan mata melalui kuasa yang ada untuk mempengaruhi sesuatu keputusan seperti pemberian tender.

"Selain itu sikap tidak amanah, tiada sifat integriti dan tidak melihat tanggungjawab sebagai sesuatu yang perlu di tunaikan dengan jujur adalah penyebab rasuah berlaku dari kalangan pegawai atasan.

"Gejala ini mengakibatkan hilangnya kepercayaan masyarakat kepada suatu sistem yang lebih adil dan telus," katanya.