IPOH - Seorang wanita warga Indonesia sanggup menggadai nyawa dengan memanjat dan menyembunyikan diri di sebalik zink tajam dalam Ops Bersepadu sekitar bandar raya itu semalam.
Namun taktik itu gagal apabila wanita berkenaan berjaya ditahan oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia Perak dalam serbuan di sebuah rumah di Lahat.
Operasi yang berlangsung selama lima jam bermula jam 11 malam itu melibatkan 16 lokasi berasingan di sini berjaya menahan 27 warga asing termasuk 10 wanita.
Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan selepas disyaki menggaji warga asing tanpa pas yang sah.
"Seramai 17 pegawai terlibat dalam operasi sekitar Lahat, Buntong, Kampung Simee dan Fair Park membabitkan premis kediaman, rumah kongsi, stesen minyak dan sebuah bangunan dua tingkat.
"Seramai 85 individu telah diperiksa dan imigresen menahan 12 lelaki dan 10 wanita warga Indonesia, empat lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga Bangladesh," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua mereka yang berusia 16 hingga 45 tahun itu telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
"Di bawah akta itu, mereka dikesan tidak memiliki pas yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini.
"Mereka ditahan untuk siasatan lanjut. Justeru itu, Imigresen akan melakukan pemantauan dan operasi berterusan. Orang ramai boleh terus salurkan maklumat agar tindakan sewajarnya dapat diambil," katanya.