GEORGE TOWN - Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang individu untuk mendapatkan emas yang kononnya dilelong oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Nuur Thibrani Mohamed Ibrahim, 35, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.
Mengikut kertas pertuduhan, Nuur Thibrani telah memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa dia berupaya mendapatkan emas yang kononnya dilelong oleh IPK Pulau Pinang, dan dengan curangnya mendorong seorang wanita berumur 53 tahun itu menyerahkan wang berjumlah RM116,256.00 kepada tertuduh.
Mangsa kemudian memasukkan wang ke dalam empat akaun bank yang diberikan oleh tertuduh.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 15 Oktober 2023 pada jam 11.05 pagi hingga 21 November 2023, pada jam 6.58 pagi, di sebuah kolej di pusat bandar Georgetown.
Kes dikemukakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Ashraf Ali mencadangkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.
Dalam rayuannya, tertuduh meminta wang jaminan dikurangkan memandangkan dia seorang suri rumah.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 12 September depan. - Bernama