TEMERLOH - Hujan lebat bukan penghalang Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah menghulurkan bantuan kepada mangsa kemalangan di sini petang tadi.
Menerusi Instagram House of Pahang, kejadian berlaku di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Lanchang ketika Tengku Hassanal dalam perjalanan ke Putrajaya.
Entri itu memaparkan, Tengku Hassanal bertanya khabar kepada mangsa kemalangan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbalik di LPT.
Difahamkan, kedua-dua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.
Tengku Hassanal turut melakukan pemeriksaan kenderaan yang terbalik itu sambil berpayung ketika hujan lebat.
Dalam pada itu, rata-rata netizen memuji tindakan Tengku Hassanal atas kesudian baginda membantu mangsa kemalangan walaupun dalam keadaan hujan lebat.
Malah turut menyifatkan keperibadian dan keprihatinan Tengku Hassanal saling tak tumpah seperti ayahandanya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Like father like son. Daulat Tuanku," tulis @Marina di Instagram manakala @Fatimah pula berkata,"Tadi ayahanda, sekarang anakanda pula terjumpa orang kemalangan di jalan raya."
Sementara itu, pagi tadi, ayahanda Tengku Hassanal, Al-Sultan Abdullah turut berkenan membantu mangsa kemalangan berhampiran plaza tol Lebuhraya MEX Putrajaya.
Selesai bertanya khabar kepada mangsa, Seri Paduka kemudian meneruskan perjalanan ke Istana Melawati, Putrajaya untuk Majlis Menghadap Pra Kabinet bersama Perdana Menteri.