Fahami sejarah untuk bangkit

Iklan
KISAH penjajahan di Tanah Melayu perlu diambil iktibar agar tidak berulang kembali pada masa akan datang. Foto CANVA

Penting dalam pembinaan jati diri untuk melangkah maju ke hadapan seperti dihuraikan dalam forum Sinar Al-Jumu'ah

ALLAH SWT berfirman dalam ayat kelima surah al-Jumu’ah:

"(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telah pun diterangkan dalam kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya), maka perbandingan orang-orang (Yahudi) yang diberi tanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) kitab Taurat tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul kitab-kitab tebal (sedangkan ia tidak mengetahui kandungannya).”

Iklan
Iklan

Begitulah perumpamaan yang direkodkan ALLAH dalam kitab-NYA, suatu perbandingan yang sangat tepat digambarkan kepada kaum Yahudi yang mengetahui tentang Nabi Muhammad SAW sekali gus menafikan kebenaran yang dibawa Baginda melalui wahyu-NYA.

Pensyarah Universiti Tun Hussien Onn Malaysia, Dr Mohd Shafiq Sahimi menjelaskan, kisah tersebut merupakan antara cebisan sejarah yang merupakan sebahagian besar isi kandungan kalam ILAHI itu.

Iklan

DR MOHD SHAFIQ

"Kisah kaum Yahudi yang diumpamakan keldai yang membawa kitab atau buku dan ia tidak memberi manfaat kepada mereka merupakan salah satu kisah atau sejarah yang terkandung di dalam al-Quran.

Iklan

Jelasnya, ini menunjukkan bahawa sejarah bukan sekadar cerita semata-mata, malah terdapat pelbagai pengajaran dan iktibar yang terkandung di dalamnya.

Beliau berkata demikian pada program Sinar Al-Jumu’ah bertajuk ‘Fahami sejarah untuk bangkit’ anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersama seorang lagi panel iaitu Pengurus Besar Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal.

Bual bicara dikendalikan Ketua Penyelidik WUIF, Ustaz Fazrul Ismail manakala Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berperanan sebagai qari jemputan.

Mengulas lanjut mengenai ayat tersebut, Dr Mohd Shafiq menambah, empat elemen yang terdapat di dalam al-Quran yang perlu diberi penekanan ialah:

1 – Tilawatul Quran (membaca al-Quran).

2 – Tazkiyatun nafsi (penyucian jiwa).

3 – Ta’limul Quran (memahami al-Quran).

4 – Hikmatu minal Quran (hikmah dari al-Quran).

Jelas ahli akademik itu, keempat-empat elemen tersebut penting untuk digarapkan oleh setiap Muslim agar mereka tidak mengambil ayat-ayat al-Quran secara tekstual semata-mata.

SEJARAH perlu diajar secara berkesan agar iktibar daripadanya dapat diambil dan diamalkan dalam kehidupan dalam membina kembali jati diri dan kekuatan ummah. Foto CANVA

"Begitu juga dengan sejarah. Jangan kita hanya membaca sejarah tersebut tanpa mengambil pengajaran daripadanya.

Katanya lagi, apa-apa kisah atau sejarah yang dipaparkan di dalam al-Quran mempunyai ta’lim (pembelajaran) yang mesti dipelajari dan mesti ada hikmah seperti disebut di dalam ayat ke-111 surah Yusuf:

"Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang yang berakal. (Al-Quran) bukanlah cerita yang direka-reka, tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya, menjelaskan segala sesuatu dan (sebagai) petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Jelasnya, ini bermakna sejarah atau kisah terdahulu akan berulang kembali sekiranya jalan sama diikuti kita pada hari ini.

"Sebagai contoh, sejarah kita dijajah ratusan tahun dahulu dan sejarah kemerdekaan negara, kalau kita buat kesalahan yang sama seperti dilakukan ketika itu, kita akan terjajah kembali.

"Nasihat saya kepada pemegang-pemegang polisi penting sama ada dalam pendidikan, sosial atau kemasyarakatan, mereka perlu mengkaji semula sejarah kita dan bawanya sebagai momentum ke hadapan untuk diambil pengajaran, bukan hanya sekadar kisah,” hurainya.

Kaedah salafussoleh ajar sejarah kepada anak-anak

Mengulas mengenai kaedah para salafussoleh mengajarkan anak-anak mereka tentang sejarah, Dr Mohd Shafiq menjelaskan, mereka mengajarkan sejarah terutamanya berkaitan dengan perang yang disertai Nabi Muhammad SAW dan para sahabat itu umpama mengajarkan anak-anak surah al-Fatihah.

"Maka hasilnya lahirlah tokoh-tokoh besar seperti Muhammad al-Fatih, Muaz dan Muawiz. Mereka masih kecil namun mempunyai semangat dalam peperangan dan mahu membuka kota Constantinople,” jelasnya.

Berbanding dengan sistem pendidikan sekarang, kita melihat pendidikan sejarah itu di dalam kelas dan perlu dihabiskan sukatan pelajaran sebelum memasuki peperiksaan.

"Pandangan saya, kita perlu melihat kembali bagaimana kita mengajarkan sejarah negara kepada anak-anak pada zaman serba canggih ini.

"Perlu ada adaptasi sejarah di dalam al-Quran dengan sejarah tanah air kita untuk membina jati diri anak-anak dan melihat ke belakang iaitu sejarah untuk maju ke hadapan adalah satu langkah penting,” jelasnya.

DR MOHD SHAFIQ (dua dari kanan) bersama Datuk Ahmad Farid (dua dari kiri) pada program Sinar Al-Jumuah anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.

Ia sebagaimana perjuangan rakyat Palestin yang tetap bersemangat dan tidak mengalah walaupun sudah lebih 200 hari diserang tanpa bantuan kerana mereka faham sejarah Palestin dan kaum Yahudi.

"Fahami dan ajari anak-anak bangsa kita dengan sejarah Islam dan tanah air, mereka akan ada semangat yang baharu untuk bina kekuatan jati diri mereka dan bina kembali negara,” katanya.