SEPANG - Ibu kepada remaja perempuan yang ditahan selepas menyamar sebagai pegawai perubatan dekat Hospital Sultan Idris Shah, Serdang di sini dipanggil pada Khamis untuk dirakam keterangan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, setakat ini siasatan masih dijalankan berkaitan kejadian itu.
"Ibu suspek dipanggil untuk dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang malam ini.
"Selain itu, suspek akan dibawa ke mahkamah pada esok (Jumaat) untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Wan Kamarul Azran berkata, polis masih menyiasat motif suspek bertindak menyamar sebagai pegawai perubatan di hospital berkenaan.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan polis menerima satu laporan daripada kakitangan Hospital Sultan Idris Shah, Serdang berkaitan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang tidak dikenali berada dalam dewan bedah hospital berkenaan.
Polis menerima laporan tersebut pada jam 1 petang Rabu menyatakan remaja terbabit mengaku sebagai pegawai perubatan dan mahu membantu menjalankan pembedahan.
Remaja itu ditahan di lobi hospital tersebut dan polis merampas sehelai baju scrub, seluar scrub dan 'lanyard' hak milik hospital berkenaan.
Polis juga membuka satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan atau Seksyen 170 kanun yang sama kerana menceroboh dan menyamar sebagai penjawat awam.