SHAH ALAM - Sebanyak 10,423 laman sesawang disekat susulan pelanggaran undang-undang oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
SKMM berkata, sekatan tersebut dilaksanakan sejak 1 Januari 2022 hingga 1 Ogos lalu.
Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 95.7 peratus laman sesawang yang disekat tergolong dalam lima kategori utama.
"Lima kategori itu adalah perjudian dalam talian (4,484), perjudian dalam talian (3,271), pelanggaran hak cipta dalam talian (1,654), scam atau pelaburan haram dalam talian (316) dan pelacuran dalam talian (24).
"Jumlah sekatan yang mempunyai kandungan kemudaratan dalam talian tertinggi direkodkan pada tahun 2021 iaitu sebanyak 6,571.
"Jumlah ini menunjukkan trend penurunan sehingga Ogos 2024,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
SKMM menjelaskan, sekatan yang dilakukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) dan undang-undang di bawah bidang kuasa agensi penguatkuasaan lain.
Ujarnya, ia termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Suruhanjaya Sekuriti.
"Dalam konteks yang lebih besar, sekatan kepada laman-laman sesawang dapat mengekang jenayah-jenayah lain antaranya pemerdagangan manusia, pengantunan kanak-kanak, penjualan bahan terlarang seperti dadah, serta jenayah terancang yang lain,” jelasnya.
SKMM dalam kenyataan sama berkata, pihaknya komited untuk bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan tempatan bagi menambah baik dan memperkukuh langkah pencegahan serta perlindungan.
"Ini termasuk dalam aspek pengurusan Domain Name System (DNS).
"Kerjasama SKMM dan penyedia perkhidmatan dapat memastikan persekitaran dalam talian yang selamat, seterusnya menjamin keselamatan segenap lapisan pengguna,” katanya lagi.
Tambah SKMM, usaha tersebut turut memerlukan pendekatan holistik keseluruhan negara daripada segenap lapisan masyarakat.
Katanya, ia bertujuan untuk tidak melangkaui mekanisme perlindungan tersedia yang boleh memberi kesan negatif kepada diri dan keluarga, khususnya remaja serta kanak-kanak.