DALAM aksi kecemerlangan atletik yang memukau, Thailand meraih satu pingat emas dan dua perak dalam tempoh sehari di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 pada Rabu, mencetuskan gelombang kebanggaan negara.
Atlet sensasi taekwondo Thailand, Panipak Wongpattanakit, lebih dikenali sebagai 'Tenis', mengukir namanya dalam sejarah Olimpik pada Rabu dengan berjaya mempertahankan pingat emas kategori 49kg wanita.
Panipak, yang meraikan ulang tahunnya yang ke-27 pada Khamis, meraih emas Olimpik kedua berturut-turut, mencipta sejarah sebagai atlet Thailand pertama memenangi dua pingat emas Olimpik.
Hari Olimpik bersejarah Thailand diteruskan apabila negara itu menambah satu pingat perak dan satu gangsa.
Atlet angkat berat Thailand Theerapong Silachai membawa pulang pingat perak dalam acara 61kg lelaki manakala Surodchana Khambao memperoleh gangsa dalam 49kg wanita.
Persembahan luar biasa itu telah mencetuskan kebanggaan negara dan ucapan tahniah di media sosial.
Antara yang meraikannya, Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin, mengucapkan tahniah kepada para atlet dan melahirkan rasa gembira selepas mereka memperoleh tiga pingat dalam satu hari di Sukan Olimpik Paris 2024.
"Tenis (Panipak) kembali menggembirakan rakyat Thailand. Dia mengalahkan pesaingnya dari China untuk memenangi emas pertama untuk Thailand di Sukan Olimpik Paris 2024. Ia juga pingat emas pada hari lahirnya. Itu menakjubkan.
"Ia satu lagi hari bersejarah bagi Thailand kerana kami menerima tiga pingat dalam satu hari.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua. Setiap pingat adalah pencapaian dan kebanggaan bagi kami warga Thailand,” catatnya dalam hantaran di platform X, Khamis.
Srettha turut mengucapkan tahniah kepada atlet angkat berat Thailand, Theerapong dan Surodchana, yang meraih pingat perak dan gangsa pada Rabu.
"Theerapong, membuat penampilan sulung di Olimpik pada usia 20 tahun, memperoleh pingat perak dan dianggap mempunyai masa depan yang cerah.
"Surodchana turut memenangi pingat gangsa dalam kategori 49kg wanita dengan jumlah angkatan 200kg. Itu sangat kuat," tulisnya.
Pada Sukan Olimpik Paris 2024, Thailand merangkul satu pingat emas, dua perak dan dua gangsa setakat ini.
Pada Isnin, pemain badminton berbakat Thailand, Kunlavut Vitidsarn memperoleh pingat perak dalam perseorangan lelaki, menandakan pingat badminton Olimpik pertama negara itu.
Janjaem Suwannapheng menambah pungutan pingat Thailand dengan memenangi gangsa dalam kategori tinju welterweight wanita.
Pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, Thailand memenangi satu pingat emas dan satu gangsa. - Bernama