Korea Selatan, UK, Perancis sedia bantu China

Iklan
Seorang pesakit dirawat di sebuah hospital di Wuhan, China.

BEIJING - Korea Selatan, United Kingdom (UK) dan Perancis menyuarakan kesediaan mereka untuk menghulurkan bantuan barangan perubatan kepada China bagi memerangi ancaman wabak baharu, kata Kementerian Luar China pada Rabu.

Agensi berita Sputnik melaporkan kenyataan itu dibuat selepas perbualan telefon antara Menteri Luar China Wang Yi dengan rakan sejawatannya dari ketiga-tiga negara itu.

Iklan
Iklan

"Ketika berdepan dengan detik susah, jiran seharusnya tampil membantu dan tolong menolong antara satu sama lain.

"Korea Selatan sedia untuk bekerjasama dengan China dan menyekat penularan wabak serta bersedia menghantar bantuan barangan perubatan secepat mungkin," kata Menteri Luar Korea Selatan, Kang Kyung-wha dalam kenyataan itu.

Iklan

Menteri Luar UK, Dominic Raab turut berkata, Britain sedia menghantar bantuan perubatan yang diperlukan ke China.

Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian, pula berkata, Paris menghargai usaha China menangani penularan wabak koronavirus.

Iklan

"Jika China memerlukan apa-apa, Perancis sedia memberikan sebarang bantuan," katanya. Virus yang tidak diketahui sebelum ini, kali pertama di kesan di Wuhan pada lewat Disember tetapi kemudian merebak ke bandar raya utama lain.

Sehingga pagi Rabu, lebih 6,000 kes jangkitan dikesan dan 132 kematian dicatatkan di China, lapor Suruhanjaya Kesihatan Negara.

Selain China, sekurang-kurangnya 15 negara sudah mengesan virus itu di negara masing-masing. - Bernama