‘Tiada keperluan UMNO sorok perkahwinan dengan DAP’ - Puad Zarkashi

Iklan
Puad Zarkashi

SHAH ALAM - Tiada sebarang keperluan untuk UMNO menyorokkan perkahwinannya dengan DAP seperti didakwa.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, ini kerana partinya tidak pernah berkahwin dengan DAP.

Iklan
Iklan

"Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Jidin tuduh UMNO-DAP menyorok perkahwinan.

"UMNO (sebenarnya) tidak pernah kahwin dengan DAP. Lagi pun bukan rahsia UMNO-DAP bekerjasama dalam Kerajaan Madani,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, Mohd Radzi berkata, tindakan UMNO menghalang DAP daripada turun berkempen umpama cubaan untuk merahsiakan perkahwinan.

Menurutnya, parti tersebut berbuat demikian kerana sedar orang Melayu khususnya pengundi UMNO tidak suka akan kerjasama parti itu dengan DAP.

Iklan

Mohd Puad mendakwa, Mohd Radzi tidak menyangka strategi Barisan Nasional (BN) yang tidak membawa DAP untuk berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

"Radzi sebenarnya terkedu dengan strategi BN bila DAP tidak datang berkempen. PN terlepas peluang untuk eksploit isu kaum dan agama,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Puad memaklumkan PN-Pas takut dengan imej Gerakan yang menyokong dana syarikat arak di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) baru-baru ini menjejaskan undi orang Melayu.

"Mana pula batang hidung pemimpin Gerakan. Kenapa menyorok?

"PN-Pas takut imej Gerakan sokong dana arak ke SJKC akan menjejaskan sokongan Melayu kepada PN di Nenggiri,” tambahnya.

PRK Nenggiri diadakan pada 17 Ogos susulan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan dua penjuru antara BN diwakili Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dengan calon Bersatu mewakili PN, Mohd Rizwadi Ismail.