MENTERI Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
Beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, kesediaan itu bukan medan meraih populariti sebaliknya mahu mengembalikan maruah pasukan bola sepak, Kuala Lumpur (KL) City FC.
"Saya menawarkan diri untuk dicalonkan Presiden KLFA pada kongres tahun ini.
"Saya juga telah mengadakan siri perbincangan dengan tokoh-tokoh korporat, profesional, institusi kerajaan untuk bersama-sama wakil kelab gabungan untuk mengemudi KLFA.
"Kemelut yang melanda pasukan KL City FC telah mendapat perhatian yang meluas akhir-akhir ini.
"Sebagai peminat dan juga wakil rakyat ibu kota, saya juga turut terkesan dengan tindakan ini," katanya dalam hantaran video di TikTok pada Khamis.
Sebelum ini, nama Nik Nazmi dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil antara yang disebut-sebut akan merebut jawatan sebagai presiden KLFA.
Jawatan Presiden KLFA ketika ini dipangku Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid selepas Khalid Samad melepaskan jawatan itu pada Mac lalu.
Tambah Nik Nazmi, ia satu amanah yang besar untuk mengembalikan kepercayaan peminat bola sepak dan sudah tiba masanya mengembalikan maruah bola sepak Kuala Lumpur.
Ujar beliau, pihaknya menawarkan tiga tonggak untuk melonjakkan bola sepak Kuala Lumpur iaitu kelestarian organisasi dan kewangan menerusi perkongsian pintar sebagai pusat komersial negara.
"Namun di sebalik perbelanjaan yang lebih kecil dan pelbagai masalah yang melanda, semangat #sampaimatiKualaLumpur jelas dihayati oleh pemain-pemain KL City sehingga kita mencapai keputusan yang baik dan mendapat kedudukan yang tinggi di dalam Liga Super.
"Kuala Lumpur sebagai ibu kota dan menyatupadukan warga kota. Kita memerlukan persatuan bola sepak yang berkesan di dalam membina ekosistem yang sihat dari peringkat akar umbi hingga pasukan profesional.
"Tindakan wajar perlu diambil kepada pasukan KL City yang rata-rata pemainnya telah berjuang berhabis-habisan dalam Liga Malaysia.
"Orang politik datang dan pergi KLFA tetapi bagi kami bukan medan populariti untuk diraih. Ini amanah besar untuk kembalikan kepercayaan peminat," katanya.