Al-Quran bentuk komuniti aman damai

Iklan
Menerusi penganjuran Malaysia #QuranHour, umat Islam dapat kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah dalam membentuk kerangka komuniti yang harmoni.

SHAH ALAM - Al-Quran merupakan panduan dan rujukan terpenting umat Islam dalam segenap aspek kehidupan, khususnya dalam membentuk komuniti yang aman damai dalam sebuah negara yang berbilang kaum.

Pembaca ikrar Malaysia #QuranHour 2024, Ridzuan Ong Yee Yung berkata, ajaran yang terkandung dalam al-Quran amat menekankan kepentingan memelihara hubungan persaudaraan, menjaga tutur kata dan budi bicara supaya keharmonian dan kemesraan hidup bermasyarakat sentiasa terpelihara.

Iklan
Iklan

Katanya, menerusi penganjuran Malaysia #QuranHour, umat Islam dapat kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah dalam membentuk kerangka komuniti yang harmoni, sekali gus membawa pengaruh baik kepada masyarakat bukan Islam seluruh dunia.

"Kebanyakan sudah lupa kunci kejayaan sebenar ialah melalui al-Quran dan sunnah. Isi kandungan al-Quran meliputi dan mencakupi seluruh permasalahan manusia dan alam baik dalam soal akidah, ibadah, muamalah mahupun akhlak.

Iklan

"Macam mana nak berjaya kalau kita jauh dari al-Quran dan sunnah?” katanya pada Khamis.

Ridzuan Ong berkata, beliau bersyukur kerana diberi peluang untuk menggalas tanggungjawab selaku pembaca ikrar.

Iklan

"Alhamdulillah tahun lepas saya mengikuti aktiviti program ini. Jadi, apabila tahun ini mereka panggil saya untuk membaca ikrar, saya berasa amat bangga.

"Penganjuran program Malaysia #QuranHour ini bagus kerana tidak kira apa perayaan yang kita sambut termasuk Hari Kebangsaan, kita perlu ingat bahawa ini adalah satu peluang untuk mengingati ALLAH SWT,” ujarnya.

Seorang lagi pembaca ikrar Malaysia #QuranHour 2024, Haris Gopinat Sundaram berkata, beliau pertama kali dipanggil untuk membaca ikrar dan merupakan peluang yang tidak boleh dilepaskan.

"Saya gembira dan bersyukur dengan peluang yang diberikan ini. Pada saya, program seperti ini perlu kita anjur dengan lebih kerap kerana ia sangat bermanfaat untuk ummah.

"Dalam tema Malaysia #QuranHour kali ini, ideanya adalah untuk membawa seluruh masyarakat terutamanya beragama Islam menghayati Rukun Negara sebagai asas dalam kehidupan. Sudah tentu, pada saya ia memberi implikasi yang baik untuk mengukuhkan lagi perpaduan di negara ini,” katanya.

Malaysia #QuranHour kali ke-10 yang bertemakan ‘Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara Berpandukan Surah Al-Jumu’ah’ dianjurkan dengan tujuan memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat melalui penghayatan Rukun Negara dan nilai-nilai murni dalam al-Quran dan Sunnah.

Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini diadakan serentak di seluruh negara dan bersiaran langsung dari lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada jam 10 pagi hingga 11 pagi, 30 Ogos 2024.