PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia di London menyifatkan rusuhan yang berlanjutan ke ibu kota itu sejak Selasa lalu tidak seburuk dilaporkan.
Pekerja Restoran Dapur, Wan Mohd Fadhzlan Wan Ahmad berkata, arahan berjaga-jaga telah dikeluarkan Datuk Bandar London.
"Memang sudah merebak ke London, cuma apabila dengar daripada media, ia teruk dan menakutkan sedangkan bagi penduduk, rutin masih normal,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau yang menetap di London sejak 2020 menemani isterinya yang melanjutkan pengajian PHD di Imperial College berkata, sebahagian kedai dan restoran berhampiran kediamannya di Boston Manor yang ditutup pada Selasa sebagai langkah awal keselamatan telah kembali beroperasi.
"Saya tak fikir ada arahan penutupan kedai, cuma saya rasa tuan kedai mengambil inisiatif menutup operasi kerana di sekitar sini, hampir semuanya mempunyai pekerja imigran,” jelas beliau.
Beliau berkata, rutin perjalanannya ke tempat kerja di Holborn dengan menggunakan pengangkutan awam yang memakan masa satu jam juga tidak terjejas.
Wan Mohd Fadhzlan, 42, berkata, keadaan di Terminal 2 Lapangan Terbang Heathrow agak lengang berbanding sebelum ini.
"Semalam (Rabu) saya ke sana untuk hantar kawan pulang ke Malaysia, tetapi agak pelik kerana lengang.
"Saya tak pasti punca disebabkan isu ini atau sebab lain,” katanya.
Insiden rusuhan bermula dengan pembunuhan tiga kanak-kanak perempuan ketika menghadiri kelas tarian di Southport, bandar di utara Liverpool, yang kemudiannya disusuli dengan tindak balas beberapa kumpulan tertentu yang melakukan serangan ganas.
Serangan bermula apabila maklumat palsu menyebarkan nama dan identiti penyerang dengan dakwaan suspek seorang migran dari Syria yang tiba di UK dengan menyeberangi Selat Inggeris baru-baru ini menggunakan bot kecil serta merupakan seorang Muslim.
Bagaimanapun, Axel Rudakubana, 18, yang didakwa atas tiga pertuduhan membunuh dan 10 pertuduhan cubaan membunuh, sebenarnya bukanlah seorang Muslim atau migran.