Penguatkuasaan lebih kerap elak tragedi

Iklan
Keadaan rumah Norrulaini yang dirempuh treler terbabas pada Sabtu.

BEBERAPA hari lalu, kita dikejutkan dengan ke​malangan tragis di Kilometer 5, Jalan Pekan-Rompin, Kampung Ketapang Hilir, Pekan, Pahang.

Dua beradik, Nurnazatul Fasiha Nasruddin dan adiknya Mohd Waldon Faris, terkorban selepas rumah mereka dirempuh oleh sebuah treler​ ketika waktu hampir fajar.

Iklan
Iklan

Tragedi ini bukan sahaja meruntun jiwa ahli keluarga, tetapi juga memberi kesan mendalam kepada komuniti setempat dan warga maya.

Kehilangan dua anak dalam sekelip mata ​pastinya memberi tekanan emosi yang luar biasa kepada ibu mereka dan seluruh keluarga.

Iklan

Penulis merasakan hanya air mata yang mampu dizahirkan pada saat ini, meng​enang betapa beratnya ujian yang ditanggung oleh keluarga tersebut​, malahan ​kejadian ini ​turut menimbulkan kemarahan dalam kalangan komuniti tempatan.

​Terdapat ​j​uga segelintir penduduk mendakwa bahawa rumah mereka ​telah tidak selamat sekiranya ​ada pengguna jalan raya yang tidak berhemah.

Iklan

Lebih mengejutkan, hasil siasatan awal polis mendapati bahawa pemandu treler tersebut berada di bawah pengaruh dadah semasa kejadian berlaku.

Perkara ini disahkan Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin yang menjalankan ujian saringan awal terhadap pemandu treler, didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Rasanya kejadian seperti ini bukan pertama kali. Sebelum ini pun ada kemalangan ngeri membabitkan bas persiaran dengan sebuah treler yang membawa rombongan Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu pada 9 Jun lalu.

Tragedi berlaku di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau-Rompin telah mengakibatkan empat maut, manakala 35 cedera.

Episod hitam ini tentunya tidak akan dilupakan ahli keluarga mangsa dan masyarakat, lebih-lebih lagi mereka yang terlibat.

Justeru, penulis berpandangan, semua ini berlaku disebabkan kecuaian yang jelas dan menuntut perhatian serius daripada pihak berkaitan.

Kita lihat beberapa faktor seperti kelajuan berlebihan, keadaan jalan yang tidak selamat dan kekurangan pengawasan sering kali menjadi punca utama kemalangan, selain pemanduan di bawah pengaruh bahan terlarang.

Semua ini antara kecuaian individu yang boleh mengakibatkan nyawa orang lain terancam, dan lebih memilukan apabila kemalangan tersebut mengakibatkan kematian.

Penulis berpendapat sebagai langkah pencegahan, pihak berkaitan disarankan untuk mengkaji semula infrastruktur jalan raya, termasuk memperbaiki jalan rosak, meningkatkan pencahayaan pada waktu malam dan papan tanda amaran perlu dipasang untuk memastikan keselamatan pengguna.

Di samping itu, pihak penguat kuasa harus lebih tegas dalam tindakan terhadap pemandu yang melanggar peraturan lalu lintas.

Penulis turut merasakan bahawa pihak berkuasa perlu meningkatkan frekuensi penguatkuasaan ujian dadah secara berkala, khususnya untuk pemandu ​yang membawa penumpang dan kenderaan berat yang mengangkut barang berbahaya atau mudah terbakar.

Ujian ini perlu dilakukan secara rawak dan berterusan serta menetapkan hukuman lebih berat untuk pemandu yang didapati memandu di bawah pengaruh dadah patut dipertimbangkan.

Hukuman itu mungkin boleh merangkumi denda tinggi, penjara, dan penggantungan atau pembatalan lesen memandu.

​Bagi penulis ​sebagai pengguna jalan raya, kita harus menghayati ​dua prinsip penting iaitu ‘jalan raya bukan tempat berlumba’ dan ‘dadah bukan rakan pemanduan’.

Marilah kita berhemah di jalan raya, bukan hanya untuk keselamatan diri kita tetapi juga untuk kesejahteraan semua.

* Norawazni Yusof ialah wartawan Sinar Harian Edisi Pahang