ATLET angkat berat Indonesia, Rizki Juniansyah menyumbang emas kedua republik itu di Olimpik Paris 2024 selepas mengungguli acara 73 kilogram (kg), pada awal pagi Jumaat.
Rizki mengangkat beban keseluruhan 354 kilogram (kg) untuk meraih emas, manakala perak milik atlet Thailand, Weeraphon Wichuma yang mengangkat beban keseluruhan 346kg.
Gangsa milik atlet Bulgaria, Bozhidar Andreev dengan angkatan seberat 344kg.
Pada Khamis, Veddriq Leonardo menyumbang pingat emas sulung buat Indonesia dalam sukan memanjat bagi saingan speed lelaki.
Veddriq, 27, memperbaiki catatan masanya dalam setiap perlumbaan bermula dari suku akhir, sebelum menumbangkan Wu Peng dari China dengan perbezaan masa 2/100 saat (s) untuk merakam catatan peribadi terbaik 4.75s.
Dengan kemenangannya, Veddriq memberikan Indonesia emas Olimpik pertama mereka selain dari sukan badminton dan pingat emas kesembilan mereka sejak penampilan pertama di Olimpik pada tahun 1952.