Pengawal keselamatan ditahan, terlepas tembakan di Hospital Alor Gajah

Iklan
Polis menahan seorang pengawal keselamatan sebuah syarikat sekuriti kerana cuai sehingga senjata api yang digunakannya terlepas tembakan ketika bertugas di Hospital Alor Gajah, di sini pada Khamis. Gambar hiasan (Gambar kecil: Ashari)

ALOR GAJAH - Polis menahan seorang pengawal keselamatan sebuah syarikat sekuriti kerana cuai sehingga senjata api yang digunakannya terlepas tembakan ketika bertugas di Hospital Alor Gajah, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah,Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang di Pejabat Unit Hasil hospital berkenaan, bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa.

Iklan
Iklan

"Polis menerima maklumat kejadian daripada ketua pengawal keselamatan Hospital Alor Gajah memaklumkan senjata api jenis shot-gun Winchester digunakan suspek yang berusia 56 tahun telah terjatuh dan meletup sehingga terkena meja kaunter.

"Ketika kejadian, suspek bertugas seorang diri di dalam pejabat dan tiada pekerja lain ketika itu," katanya ketika mengesahkan laporan pada Jumaat.

Iklan

Ujarnya, siasatan awal mendapati, semasa kejadian lelaki itu sedang duduk di kerusi manakala senjata api yang dibekalkan syarikat diletakkan di atas meja hadapannya dalam keadaan kunci keselamatan tidak dipasang.

Ashari berkata, lelaki itu kemudian menghubungi ketua pengawal keselamatan hospital yang segera melaporkannya kepada pengadu iaitu ketua operasi syarikat sekuriti berkenaan.

Iklan

"Selepas pihak hospital dan syarikat melakukan siasatan dalaman, satu laporan polis dibuat pada jam 6.20 petang semalam atas kecuaian suspek dalam mengendalikan senjata api.

"Siasatan tempat kejadian oleh Cawangan D10 (Forensik), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka tidak memperolehi sebarang penemuan kerana telah dibersihkan dan pejabat beroperasi seperti biasa," katanya.

Beliau berkata, suspek telah bekerja di situ kira-kira dua tahun lalu dan mendapat lesen penggunaan senjata api sejak 2023.

"Polis turut merampas semua barang kes dalam kejadian itu. Suspek telah ditahan semalam dan permohonan reman akan dibuat pagi ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan di tempat awam dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.