DETAK jantung rakyat Malaysia bakal seirima hujung minggu ini apabila jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang turun ke gelanggang untuk berjuang dalam acara keirin lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Setelah meraih gangsa pada Rio 2016 iaitu pingat Olimpik pertama Malaysia dalam sukan berbasikal, diikuti perak pada Tokyo 2020, atlet berusia 36 tahun itu kini sekali lagi telah bersedia untuk beraksi dalam acara itu yang bakal menggegarkan Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome
Sasaran utama ialah membawa pulang pingat emas Olimpik pertama Malaysia, namun pelumba dengan julukan 'The Pocket Rocketman' itu mahu menumpukan pada melepasi satu demi satu halangan menuju ke final terlebih dahulu.
"Berdasarkan prestasi saya dalam acara pecut, John Beasley (jurulatih) kata saya ada kekuatan kaki yang bagus dan kelajuan yang baik, tapi keirin ialah pertandingan yang berbeza.
"Untuk pecut, secara tekniknya, semua orang menggunakan gear tinggi, dan anda perlu bermula daripada kelajuan asas (pegun) yang memerlukan banyak tenaga.
"Dalam keirin, kita raih sedikit momentum, dan ia lebih kepada kelajuan dan taktik, yang juga boleh memberi kelebihan buat saya," katanya kepada Bernama.
Rabu lalu, juara dunia keirin 2017 itu dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan kempen acara pecut selepas terkeluar, masing-masing, pada pusingan 1/8 dan 1/32, sebelum berehat bagi menghadapi acara kegemaran mereka, keirin.
Dalam acara pecut, Mohd Azizulhasni memperbaharui rekod kebangsaannya selepas mencatatkan 9.402 saat (s) untuk menduduki tempat ke-10 dalam pusingan kelayakan, mengatasi rekodnya 9.523s yang dilakukan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai tahun lepas.
Mengimbau final Tokyo 2020, yang menyaksikan beliau hampir merangkul emas, anak kelahiran Terengganu itu tekad untuk lebih berhati-hati kali ini.
"Semua orang tahu saya mempunyai kelajuan dan kemahiran taktikal yang baik. Kami cuma berharap tidak berlaku seperti di Tokyo, di mana kami terkepung. Rancangannya ialah hindari situasi sebegitu dan cuba untuk memenangi perlawanan satu demi satu.
"Saya turut berharap Shah Firdaus boleh berada di final bersama-sama saya supaya peluang kita meraih emas lebih tinggi," katanya.
Ketika pusingan akhir keirin Olimpik Tokyo tiga tahun lepas (tertanggguh setahun akibat pandemik COVID-19), Mohd Azizulhasni 'terperangkap' dalam kumpulan dan tidak dapat mengejar pecutan solo Jason Kenny untuk merebut emas, apabila pelumba Australia Matthew Glaetzer, yang mengetuai kumpulan, tidak bersungguh-sungguh mengejar pelumba Britain itu. Harrie Lavreysen dari Belanda membawa pulang gangsa.
Kali ini, Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus dijangka berdepan pesaing, antaranya pemenang emas Kejohanan Dunia 13 kali Lavreysen dan Jeffry Hoogland dari Belanda, pelumba Great Britain Jack Carlin, Matthew Glaetzer dari Australia dan pelumba Jepun Yuta Obara serta pemenang emas Sukan Asia dua kali, Kaiya Ota.
Dalam perlumbaan keirin, yang menuntut percaturan taktikal, pelumba melengkapkan tiga pusingan di belakang derny (basikal elektrik bertindak sebagai pacer) untuk mencapai kelajuan tertentu secara progresif sebelum pacer meninggalkan trek dengan baki tiga pusingan dan penunggang memecut ke penamat.
Pada edisi di Paris kali ini, 30 pelumba akan memulakan cabaran pada pusingan pertama dan hanya dua pelumba teratas dalam setiap saingan akan mara ke suku akhir, diikuti separuh akhir dan enam pelumba pada final. - Bernama