SEPANG - Seorang remaja perempuan yang ditahan semalam kerana disyaki menceroboh dan menyamar sebagai petugas hospital di Serdang, direman selama dua hari sehingga esok.
Perintah reman ke atas remaja berusia 14 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan, pada Jumaat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 448 dan 170 Kanun Keseksaan, iaitu menceroboh dan menyamar sebagai penjawat awam.
Terdahulu, remaja itu tiba di Kompleks Mahkamah Sepang kira-kira jam 8.40 pagi dengan pakaian lokap berwarna oren, diiring polis.
Semalam, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, remaja warga tempatan itu ditahan pada jam 9 pagi semalam di lobi Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang, dekat sini.
Beliau berkata, polis turut merampas baju, seluar scrub dan lanyard hak milik hospital. - Bernama