Pengurus syarikat mengaku tipu bekal kambing import

Iklan
Shaharani (kanan) mengaku bersalah atas tuduhan memperdaya Pengarah JPV Perak berkaitan pembekalan kambing kepada JPV Perak di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat.

IPOH - Seorang pengurus syarikat berkaitan penternakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas tuduhan menipu dalam membekalkan kambing import kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Shaharani Firdauz Abd Ghani, 38, yang merupakan Pengurus Syarikat MMLA Agri didakwa melakukan perbuatan itu di JPV Perak, Jalan Sultan Azlan Shah (U) pada 14 Disember 2021.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pilihan, lelaki terbabit telah secara tidak jujur memperdayakan Pengarah JPV Perak, Ahmad Shafri Hassan dengan mendorong beliau untuk mempercayai bahawa dokumen Invois MMLA Agri bertarikh 10 Disember 2021.

Invois tersebut dikemukakan bagi tuntutan perkhidmatan membekal dan menghantar ternakan kambing tenusu, kambing pedaging dan bebiri bersertifikasi diimport untuk Projek Subsektor Ternakan Daerah Perak Tengah, Program Pembangunan Jajaran Sungai Perak Tahun 2020, JPV Perak sedangkan kambing yang dibekalkan adalah kambing tempatan dan bukan besertifikasi diimport.

Iklan

Oleh itu tertuduh dengan curangnya mendorong Ahmad Shafri meluluskan sejumlah bayaran bagi tuntutan tersebut yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Shaharani (kanan) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat.

Berdasarkan fakta kes, Pengarah JPV Perak meluluskan pembayaran berjumlah RM836,798 kepada syarikat tertuduh berdasarkan dokumen invois yang diterima pada 15 Disember 2021 dan wang tersebut telah dimasukkan di dalam akaun syarikat tertuduh pada hari berikutnya.

Iklan

Sementara itu, tertuduh bagaimanapun membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan tersebut di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman denda RM10,000 dan penjara selama sebulan jika gagal membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Mohd Shafiqzan Suhaimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.