'Tukang' proses dadah dalam rumah diberkas

Iklan
Antara bahan kimia yang digunakan bagi aktiviti memproses dadah hasil serbuan di sebuah rumah di Buntong pada Rabu.

IPOH - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan tertangkapnya seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah dekat Buntong di sini, Rabu lalu.

Dalam serbuan jam 8.25 malam itu, suspek berusia 37 tahun ditahan bersama 18,407 gram dadah pelbagai jenis, bahan-bahan kimia serta peralatan yang digunakan untuk memproses dadah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki warga tempatan itu terlibat secara aktif dengan aktiviti memproses dadah sejak Mei lalu.

Menurutnya, suspek yang bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah turut menjadikan rumah sendiri sebagai makmal memproses dadah sebelum diagih kepada pengedar.

Iklan

"Pemeriksaan di rumah itu menjumpai dadah disyaki methamphetamine dianggarkan seberat 1,436 gram, heroin base (745 gram), heroin (765 gram) dan pil erimin 5 (560 gram).

"Turut dijumpai pil ekstasi seberat 381 gram), serbuk kafien (12,740 gram) dan serbuk jus disyaki dadah (1,780 gram) dengan nilai keseluruhan RM337,683.60," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Jumaat.

Iklan
Azizi menunjukkan bungkusan serbuk jus dicampur bahan mengandungi dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Buntong pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan menunjukkan suspek mempunyai beberapa rangkaian sindiket bermula dari memproses dadah di rumah hinggalah membekalkan kepada pengedar bagi pasaran tempatan dan di beberapa negeri lain.

"Usaha sedang dijalankan bagi mengesan ahli sindiket terlibat," katanya.

Azizi berkata, pemeriksaan mendapati, suspek pernah terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah dengan 10 rekod lampau dan empat kes bersabit jenayah lain.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek telah direman selama enam hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) akta yang sama.

"Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan sebuah kereta dipercayai milik suspek dianggarkan bernilai RM125,000," katanya.