GUA MUSANG - Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan beliau hanya akan menjawab mengenai isu tanah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di pentas ceramah.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, isu tanah berkenaan tidak sepatutnya dibawa ke mahkamah seperti yang mahu dilakukan Pengerusi Kesedar, Datuk Zawawi Othman.
Katanya, Zawawi yang juga Ketua Penerangan UMNO Kelantan seharusnya menjelaskan perkara tersebut di pentas ceramah ketika kempen untuk membolehkan rakyat menilai.
"Kita kena tanya Cikgu Awie (nama panggilan Zawawi) sebagai Pengerusi Kesedar, kenapa tidak diberikan (tanah) kepada peneroka.
"Namun Cikgu Awie cabar saya, nak saman saya. Apabila media tanya hendak jawab apa Cikgu Awie nak saman saya kerana didakwa buat fitnah kepada Kesedar, komen saya ialah akan jawab dalam ceramah sahaja.
"Kita orang politik, bila kita tak puas hati jangan bawa ke mahkamah. Kalau bawa ke mahkamah itu pondan orang panggil, berlawanlah dalam pentas politik ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri di Unit Daerah Mengundi (UDM) Sungai Asap di sini pada Khamis malam.
Takiyuddin pada 3 Ogos lalu ketika ceramah di Kampung Bertam Lama mendakwa, sebahagian besar permohonan pemilikan tanah yang sudah diluluskan oleh kerajaan negeri tidak diselesaikan Kesedar.
Menurutnya, ribuan lot iaitu 602 permohonan di Limau Kasturi dan 1,374 permohonan di Sungai Terah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sudah diluluskan oleh kerajaan negeri.
Bagaimanapun, dakwaan Takiyuddin dinafikan Zawawi yang menegaskan tanah milik Kesedar adalah hak agensi berkenaan tanpa membabitkan kerajaan negeri.
Berikutan itu, Zawawi berkata, Kesedar akan membawa kes berkenaan ke mahkamah sekiranya dakwaan dilemparkan itu tidak ditarik balik.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, beliau turut dipanggil polis susulan kenyataannya mengenai isu tanah Kesedar berkenaan.
Namun, kata Takiyuddin, beliau akan tetap mempertahankan kenyataannya meskipun berdepan ugutan tindakan undang-undang termasuk laporan polis yang telah dibuat Pemuda UMNO Gua Musang.
"Polis telah panggil, kita akan pergi. Cuma (setakat ini) tak sempat pergi lagi sebab sibuk. Kerana ada laporan polis dari Pemuda UMNO kata saya ugut, ugut ke macam itu?
"Jangan main laporan polis, jangan main di mahkamah, tapi kalau nak main sungguh tak apa kita mainlah lepas ini,” ujarnya.