MUAR - Polis giat mengesan anak kepada pasangan warga emas yang rentung dalam kebakaran di Kampung Paya Redan, Pagoh, di sini, awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhlis Azman Aziz berkata, individu bernama Azman Mohamed, 48, dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
"Azman yang merupakan anak pasangan warga emas berkenaan dan tinggal di kediaman tersebut dikehendaki berikutan dia merupakan saksi utama dalam kes ini.
"Polis menggesa agar Azman Mohamed tampil kepada kami untuk memberikan keterangan.
"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, tiga sekeluarga maut apabila rumah didiami mereka musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan, Pagoh di sini awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, sepasang suami isteri warga emas dan cucu perempuan mereka maut manakala seorang lagi cucu cedera.
Mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76.
Seorang lagi kanak-kanak iaitu cucu kepada pasangan berkenaan, Noradriana Nor Hisyam, 11, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Sementara, seorang lagi penghuni yang juga cucu mangsa, Norazima Mohd Radhi, 14, dilaporkan cedera di kepala dan masih dirawat di HPSF.