PENGARAH filem aksi Geran dan Walid, Areel Abu Bakar sekali lagi diberi kepercayaan untuk menghasilkan naskhah bergenre serupa menerusi Pungut.
Filem terbitan Studio Screen itu menampilkan barisan pelakon yang tidak kurang hebatnya seperti Ruzaidi Abdul Rahman, Aman Graseka, Fad Anuar, Aliff Yasraff, Megat Sharizal dan ramai lagi.
Penerbitnya, Datuk Saifulhaq Anani berkata, Pungut adalah sebuah naskhah memaparkan hakikat yang berlaku dalam masyarakat sekarang.
"Ia mencerminkan tentang kuasa, kedudukan serta kepayahan masyarakat dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang terlalu sukar demi mencari sesuap nasi.
"Jadi, naratif ini diolah dengan situasi yang berlaku sekarang ini dengan dijadikan sebuah kisah memaparkan kehidupan pekerja mencari rezeki sebagai pemungut sampah,” ujarnya.
Saifulhaq berkata, pemilihan Areel selaku pengarah setelah pihaknya melihat dua filem arahannya sebelum ini yang memang dekat dengan konsep cerita yang ingin disampaikan.
Ujarnya, filem Pungut juga memberikan kelainan tersendiri kerana ia bukan sekadar filem aksi semata-mata, malah akan membuka mata penonton untuk menilai sendiri konsep naratif dalam filem ini.
"Pungut memberikan kesedaran bahawa di sebalik pembangunan yang semakin pesat, masih ada segelintir yang mencari rezeki dalam longgokan sampah,” jelasnya.
Berkongsi mengenai pembikinan Pungut, Areel memberitahu turut berhadapan dengan cabaran ketika penggambaran filem tersebut.
Ujarnya, penggambaran dilakukan di tempat pelupusan sampah sebenar dan pastinya mengundang risiko dengan persekitaran yang tidak sihat.
"Itu antara cabaran utama, namun semuanya berjalan lancar. Apapun yang lebih penting saya ingin penonton lihat sendiri tentang kehidupan pekerja pemungut sampah ini mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan.
"Mungkin ada segelintir yang memandang jijik pekerjaan sebegitu, namun cuba bayangkan pula jika tiada orang yang sanggup melakukan kerja-kerja sedemikian,” jelasnya.
Pungut mengisahkan Salleh yang tinggal di sebuah perkampungan setinggan berhampiran dengan sebuah kawasan pelupusan sampah dan menyara diri dengan bekerja sebagai pengutip barang-barang lusuh.
Din Cengkoi yang juga seorang ketua kumpulan jenayah turut melihat kawasan pelupusan sampah di kampung setinggan itu mempunyai potensi untuk urusniaga haramnya setelah dikhianati di kawasan lama.