KUALA LUMPUR - Seorang bekas penghantar makanan yang videonya tular di media sosial kerana mengasari pengawal keselamatan warga Nepal, didenda RM1,300 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat kerana mencederakan lelaki itu di sebuah kondominium, bulan lepas.
Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu selepas Mohamad Najib Sabri Soh, 41, mengaku bersalah mencederakan Shrestha Ram Bahadur, 36, di lobi lif sebuah kondominium di Jalan Putramas Off, Jalan Kuching di sini pada 10.03 malam, 26 Julai.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara dua bulan jika gagal membayar denda dan dia kemudian membayar denda itu.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian tertuduh menghantar makanan di blok A2 kondominium itu tanpa membuka topi keledar dan mangsa menegurnya supaya membuka keledar itu, namun tertuduh tidak menghiraukannya lalu meletakkan makanan di atas kerusi mangsa sebelum beredar menaiki motosikal.
Tertuduh kemudian bertindak menolak mangsa sehingga terjatuh, ketika dia datang mengambil semula makanan itu menyebabkan pengawal keselamatan itu mengalami kecederaan tisu lembut pada bahu kanan.
Terdahulu Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prack Dit memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia kini tidak bekerja.
Sebelum ini, tular satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki bertindak mengasari pengawal keselamatan semasa menghantar makanan di kondominium berkenaan. - Bernama