PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap beberapa kumpulan penyokong termasuk Ultras Malaya tidak memboikot Pestabola Merdeka 2024.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, ‘ekor Harimau Malaya’ itu diharap memikirkan semula tindakan mereka demi kebaikan bola sepak Malaysia.
"Kami berharap mana-mana kumpulan penyokong sama-sama hadir ke Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi memberikan sokongan dan semangat kepada pasukan dan para pemain Harimau Malaya pada 4 dan 8 September ini.
"Tambahan pula, Pestabola Merdeka 2024 ini berlangsung dalam Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA iaitu dari 2 hingga 10 September 2024 dan sudah tentu ia menawarkan pungutan mata untuk kita terus memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Ranking FIFA,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Ultras Malaya termasuk di beberapa negeri menyatakan pendirian mereka untuk memboikot Pestabola Merdeka atas beberapa sebab antaranya kepincangan yang berlaku dalam FAM selain masalah dalam saingan Liga Malaysia.
Pada memasuki edisi ke-43 itu, Malaysia diundi bertemu Filipina sementara juara bertahan Tajikistan berdepan Lubnan dalam aksi separuh akhir pada 4 September sebelum pemenang akan berentap di final empat hari kemudian.