Polis cedera terkena tembakan semasa latihan menembak

Iklan
Gambar hiasan

IPOH - Seorang anggota polis cedera selepas terkena tembakan ketika menjalani latihan menembak di lapang sasar Kompleks Latihan Tempur Jarak Dekat (CQB) VAT 69 Komando Ulu Kinta dekat sini pada Selasa.

Dalam kejadian sekitar jam 2.15 petang itu, mangsa berusia 27 tahun berpangkat lans koperal dan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, Terengganu mengalami luka di tepi telinga kiri.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, berdasarkan siasatan, kejadian berlaku apabila seorang pegawai berpangkat Inspektor telah terlepas tembakan dan mengenai mangsa.

Azizi

"Semasa kejadian anggota terbabit telah diberikan rawatan awal pasukan perubatan dengan menghentikan pendarahan sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut.

Iklan

"Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan diberi rawatan sebagai pesakit luar," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan mendapati, latihan menembak terbabit telah disertai 46 pelatih polis melibatkan teori pengendalian senjata api dan latihan tembak statik hadapan jarak 7 meter.

Iklan

Katanya, semasa latihan disambung pada sesi petang, pelatih telah diberi arahan untuk mengosongkan senjata sebelum latihan bermula dengan pengawasan jurulatih.

"Selepas pemeriksaan dilakukan pada senjata dan telah dipastikan tiada peluru, latihan diteruskan dengan ulangkaji teknik memasuk dan keluarkan peluru dalam keadaan senjata tiada peluru manakala anggota dalam kedudukan formasi empat barisan.

"Semasa latihan ini sedang dibuat tiba-tiba terdengar satu tembakan dan telah terkena mangsa," katanya.

Azizi berkata, kertas siasatan kes itu telah dibuka di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

"Latihan menembak pada hari kejadian telah diteruskan seperti biasa dengan meningkatkan lagi aspek-aspek keselamatan," katanya.