Olimpik Paris 2024: Rhodict terlepas aksi separuh akhir

Iklan
Rhodict meraih pengalaman berharga dalam penampilan pertama pada Sukan Olimpik 2024 di Paris. Foto Bernama.

BAGAI serba tidak menjadi buat penerjun muda negara, Bertrand Rhodict Lises yang gagal meloloskan diri ke saingan separuh akhir pada penampilan pertama di Sukan Olimpik 2024 sebentar tadi.

Pencapaian tersebut menjadi pengalaman berharga buat atlet berusia 19 tahun itu apabila berada di tangga kedua tercorot daripada 26 penerjun setelah mengutip 313.70 mata dalam acara 10 meter (m) platform.

Iklan
Iklan

Seramai 18 penerjun daripada 26 atlet sahaja yang layak ke saingan separuh akhir.

Dalam aksi di Pusat Akuatik Paris tersebut, Rhodict bermula baik apabila memperoleh 66.00 mata dengan darjah kesukaran 3.0 pada terjunan pertama, namun mata yang dikutip sedikit merosot pada terjunan kedua apabila memungut 60.80 mata.

Iklan

Tidak seperti yang dimahukan buat pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2022 itu apabila terjunan ketiganya sekadar mengutip 49.50 mata menerusi darjah kesukaran 3.3.

Macam ada yang tidak kena, penerjun dari Sarawak itu kemudian gagal memperbaiki corak terjunan dalam pusingan keempat apabila memperoleh 34.00 mata dengan darjah kesukaran 3.4, manakala mata yang dikutip pada terjunan kelima juga tidak banyak berubah setelah meraih 37.80 mata.

Iklan

Rhodict kemudian menutup terjunan terakhir dengan 65.60 mata, namun terpaksa akur gagal berada dalam kelompok 18 terbaik untuk mara ke separuh akhir.

Acara tersebut diungguli penerjun China, Cao Yuan yang mengumpul 500.15 mata, diikuti Tamai Rikuto dari Jepun yang mengutip 497.15 mata, manakala atlet Kanada, Rylan Wiens ketiga dengan 485.25 mata.