[VIDEO] 'Jangan gaduh-gaduh'

Iklan

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpinnya bukan saja disertai oleh Pakatan Harapan (PH) Sabah tetapi juga pemimpin daripada UMNO-Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, tidak mahu wujud perselisihan faham antara parti lain dalam usaha membangunkan negeri ini.

Iklan
Iklan

"Sekarang kita dalam GRS tapi dalam kerajaan kita ada parti yang bersama-sama iaitu PH dan kita sebut Plus kerana dalam Plus ini wakil-wakil rakyat dari BN-UMNO sokong kerajaan.

"Jadi mereka masih dalam kerajaan. Kita ada menteri, pembantu menteri dalam kerajaan sekarang. Jadi inilah yang kita mahu, jangan gaduh-gaduh kita mahu pastikan kita sama-sama membangunkan negeri dan pastikan perpaduan dalam kalangan rakyat yang pelbagai kaum ini terus memberi kebaikan kepada semua," katanya.

Iklan
Hajiji ketika mempengerusikan Mesyuarat AMT Gagasan Rakyat di SICC, Kota Kinabalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Jumaat.

Diminta mengulas kebarangkalian untuk GRS menjalinkan semula kerjasama dengan UMNO, beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, dalam politik tiada yang mustahil terutamanya di Sabah.

Iklan

"Tidak ada mustahilnya,"katanya.

Ditanya adakah kerjasama yang wujud ketika ini akan kekal sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, Hajiji berharap ia akan berterusan malah tidak menolak untuk bekerjasama dengan sesiapa saja.

Sebelum itu, beliau memaklumkan mesyuarat yang dipengerusikannya membincangkan persiapan untuk mesyuarat Bahagian yang akan diadakan di seluruh Sabah bermula 17 Ogos hingga akhir September depan.