PELUMBA berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri melakar rekod baharu kebangsaan dalam acara pecut individu pada Sukan Olimpik 2024 sebentar tadi.
Atlet berusia 20 tahun itu memahat catatan 10.709 saat (s) dalam aksi kelayakan di Velodrome Saint-Quentin-en-Yvelines, Paris.
Iklan
Iklan
Catatan tersebut sekali gus memadam rekod lama 10.903s yang beliau lakukan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai, Negeri Sembilan tahun lalu.
Menerusi catatan baharu tersebut membolehkan pelumba dari Kedah itu mara ke pusingan 1/32 setelah berada dalam kelompok 24 pelumba terbaik.
Nurul Izzah yang membuat debut di pentas terbesar dunia itu turun pada giliran ke-15 dan catatan masa itu sudah cukup buatnya berada di kedudukan ke-21 daripada 28 pelumba berbanding 30 pelumba yang didaftarkan sebelum perlumbaan.
Ia susulan dua pelumba iaitu Nicky Degrendele dari Belgium dan pelumba China, Yuan Liying menarik diri daripada saingan.
Saingan 1/32 dijadualkan bermula pada jam 9.50 malam ini.