'Henti jual di simpang lampu isyarat'

Iklan
Operasi oleh MPT terhadap peniaga jeruk di persimpangan lampu isyarat Jalan Bahagia, Temerloh pada Khamis. Foto Facebook MPT

TEMERLOH - Penjaja makanan dan minuman di persimpangan lampu isyarat di daerah ini diminta menghentikan aktiviti jualan mereka kerana boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Suris Mihat berkata demikian susulan operasi terhadap peniaga jeruk di persimpangan lampu isyarat Jalan Bahagia di sini pada Khamis.

Sebanyak 67 balang mangga asam boi dan satu bekas simpanan dirampas dalam operasi tersebut. Foto Facebook MPT

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 67 balang mengandungi jeruk jenis mangga asam boi dan satu tong bekas simpanan telah dirampas menerusi operasi yang dijalankan Jabatan Perundangan dan Penguatkuasaan MPT.

"Sebenarnya MPT pentingkan soal keselamatan jalan raya dan ingin mengelakkan kemalangan yang mungkin boleh menimbulkan kecederaan atau kematian. Ini adalah tanggungjawab bersama semua pihak.

Iklan

"Aktiviti berniaga seperti ini perlu dibendung bagi mengelak kejadian yang tidak diingini kerana membahayakan nyawa penjaja dan pengguna jalan raya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Jelas beliau, tindakan saman boleh dikenakan mengikut Kaedah 10A(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 yang jelas menyatakan bahawa tiada urusan jual beli dibenarkan di persimpangan jalan atau di atas mana-mana jalan raya.

Iklan

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum sehingga RM2,000.